YEO Bee Yin membidas pihak yang mendakwa beliau lambat bertindak dalam insiden pencemaran di Pasir Gudang berikutan syarikat yang ada kaitan dengan suaminya berada di kawasan terlibat.
Posting di laman UmnoJohor Official mendakwa menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar di kawasan terlibat kerana tiga syarikat yang ada kaitan dengan suminya, Lee Yeow Seng beroperasi di daerah itu.
Yeow Seng merupakan anak kepada pengasas Kumpulan IOI, Lee Shin Cheng.
Yeo berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan kebebasan bersuara.
“Kenyataan tidak bermaruah ini adalah penghinaan kepada beratus-ratus orang pegawai kerajaan dari semua agensi yang terlibat dalam menangani insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang baru-baru ini,” katanya di laman Facebook.
“Mereka bertungkus-lumus bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat lelah untuk mengambil bacaan parameter dan menganalisis data untuk mencari punca insiden ini.”
Beliau berkata, tindakan pihak berkenaan mempolitikkan insiden ini adalah sesuatu yang jijik dan keji kerana tidak mengambil kira perasaan dan trauma yang dialami oleh ibu-bapa dan kanak-kanak yang terlibat dalam insiden itu.
Menteri berkenaan sebelum ini berkata, terdapat 250 syarikat bahan kimia yang beroperasi daerah berkenaan yang dibangunkan secara tidak mampan dan mempunyai kualiti udara paling teruk berbanding kawasan lain di seluruh negara.
Tiga syarikat yang dinamakan dalam posting berkenaan adalah IOI Pan Century Oleochemical Sdn Bhd, IOI Lipid Enzymetec dan IOI Pan Century Edible Oils Sdn Bhd.
IOI Corp melepaskan ia 100% kepentingan dalam IOI Lipid Enzymtec kepada Loders Croklaan Group BV sebanyak RM330.50 juta.
Sementara itu, IOI Pan Century Oleochemical dan IOI Pan Century Edible Oils Sdn Bhd dimiliki oleh IOI Oleochemical Group yang berada di bawah bahagian perkilangan berasaskan sumber Kumpulan IOI. – 2 Julai, 2019
Komen