KELAB peminat Michael Jackson bersiap sedia menyaman dua individu yang mendakwa jadi mangsa serangan seksual penyanyi itu di mahkamah Perancis minggu ini selepas pengakuan mereka disiarkan dalam dokumentari HBO, Leaving Neverland.
Pendengaran pada Khamis akan berlaku di mahkamah di bandar Orleans di mana kelab peminatnya Michael Jackson Communitu, MJ Street dan On The Line akan memulakan prosiding terhadap lelaki yang didakwa mereka mencemarkan imej mendiang penyanyi terkenal itu.
Dokumentari empat jam yang disiarkan HBO itu memberi tumpuan kepada keterangan diberikan James Safechuck, 41, dan Wade Robson, 36, yang mengulangi dakwaan bagaimana penyanyi terkenal itu mencabul mereka ketika kanak-kanak di rumahnya, Neverland Ranch, California.
Filem dua bahagian itu yang disiarkan Mac lalu, memecah rekod tayangan dalam talian dan menyebabkan keluarga Jackson memfailkan saman bernilai AS$100 juta (RM414 juta).
Peguam Perancis bagi pihak kumpulan peminat itu, Emmanuel Ludot, menyifatkan tuduhan itu “sangat berat” terhadap Jackson yang meninggal pada 2009.
Di bawah undang-undang Perancis, mencemarkan imej mereka yang meninggal dunia adalah kesalahan jenayah, tidak seperti di Britain atau AS yang menganggapnya kesalahan fitnah sahaja.
Kelab peminat itu menuntut bayaran simbolik sebanyak €1 (RM4.68) daripada setiap tertuduh.
Ludot sebelum itu berjaya menyaman doktor Jackson, Conrad Murray yang menyebabkan peminatnya tertekan kerana memberikan legenda AS itu dadah yang membunuhnya.
Lima peminat Jackson menang simbolik satu euro seorang pada 2014 selepas mahkamah di Orleans bersetuju mereka “terjejas emosi” kerana kematian penyanyi itu, tetapi penghakiman itu diragui banyak pihak.
Beberapa stesen radio dari Australia hingga ke Kanada berhenti memainkan lagu Jackson selepas dokumentari itu disiarkan, dan pencipta kartun The Simpsons membatalkan salah satu episod kerana menampilkan suara Jackson.
Jackson meninggal dunia pada 2009 pada usia 50 tahun kerana dadah ketika dijaga Murray, pada waktu kematiannya penyanyi itu sedang berlatih di Los Angeles untuk konsert di London. – AFP, 2 Julai, 2019.
Komen