DR Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir dijangka akan mengekalkan jawatan mereka dalam Bersatu pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung buat pertama kalinya pada September depan.
Mukhriz berkata, tidak ramai yang berminat untuk bertanding bagi jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden, yang disandang oleh mereka ketika ini.
“Cakap-cakap yang kami dengar dari pemimpin bahagian adalah cadangan untuk tiada pertandingan bagi tiga jawatan tertinggi. Jawatan itu ialah pengerusi, presiden dan timbalan presiden,” kata Mukhriz kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Sekiranya ada pencalonan, pemilihan pasti akan diadakan, katanya yang juga Ahli Parlimen Jerlun.
“Namun terdapat cadangan di akar umbi yang tidak menggalakkan sesiapa sahaja sekurang-kurangnya untuk pengerusi. Ia menunjukkan kita masih mahukan beliau sebagai pengerusi,” katanya merujuk kepada bapanya, Dr Mahathir.
Ditanya sama ada bapanya merancang untuk kekal sebagai pengerusi Bersatu, Mukhriz berkata: “Saya rasa begitu”.
“Setakat ini, tiada sesiapa yang mahu menentangnya.”
Mukhriz yang juga menteri besar Kedah berkata, kriteria untuk calon termasuklah keahlian parti melebihi setahun.
“Akan ada proses penamaan calon dan saya rasa di peringkat negeri pun sama,” katanya.
Berhubung Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Bersatu pada 20 Julai ini, beliau menyatakan ia adalah persediaan untuk mengadakan pemilihan parti buat pertama kalinya.
“EGM itu adalah bagi meluluskan pindaan perlembagaan kami kerana ia hampir sama dengan Umno.
“Umno telah berubah dan meminda perlembagaannya tetapi kita punya masih lama dan kita perlu lihat perkara itu. Kami harap semua ahli bersetuju dengannya,” kata Mukhriz.
Tambahnya, pimpinan parti akan mengadakan program jelajah untuk menjelaskan cadangan pindaan itu kepada ahli parti bulan ini.
Berhubung format pilihan raya parti, Mukhriz berkata, ia adalah seorang satu undi di peringkat cawangan dan bahagian.
“Perkara yang akan dibincangkan pada EGM ialah sama ada kita juga mahukan format seorang satu undi juga untuk majlis tertinggi.
“Buat masa ini, kita kita mungkin teruskan dengan sistem perwakilan,” kata Mukhriz.
Beliau berkata, ianya mungkin bukan masa terbaik untuk mengadakan sistem seorang satu undi kerana tidak semua bahagian yang berdaftar.
“Sistem ini mungkin sukar untuk dijalankan sekiranya mereka mengundi sehingga ke majlis tertinggi.” – 2 Julai, 2019
Komen