CHINA hari ini menyelar Donald Trump kerana “masuk campur” dalam isu Hong Kong selepas presiden AS itu berkata penunjuk perasaan yang menyerbu masuk bangunan Parlimen hanya mahukan demokrasi itu daerah kewangan itu.
Trump menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan di Hong Kong semalam, berkata bantahan itu “mencari demokrasi” tetapi “ada kerajaan tidak mahukan demokrasi”.
“Kami kesal dan keras menentang masuk campur negara tertentu dalam hal ehwal Hong Kong dan hal dalaman China,” kata jurucakap Kementerian Luar China Geng Shuang pada satu sidang media.
Tambahnya, China memberi amaran “kepada negara berkaitan supaya berhati-hati dalam tindakan dan ucapan dan berhenti masuk campur dalam hal ehwal Hong Kong dalam apa sahaja bentuk”.
Katanya lagi, AS tidak sepatutnya “dalam apa sahaja bentuk menyokong mereka yang terlibat dalam keganasan dan melanggar undang-undang”.
Daerah kewangan semi autonomi itu diheret ke kancah krisis selepas tunjuk perasaan berminggu-minggu menentang undang-undang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, dan isu itu jadi petunjuk kebencian memuncak kepada Beijing.
Semalam- ulang tahun ke-22 penyerahan bandar itu kepada China- situasi memuncak selepas penunjuk perasaan yang kebanyakannya orang muda memecah masuk bangunan Parlimen.
Beijing mendesak siasatan jenayah dilakukan ke atas kejadian semalam yang disifatkannya sebagai “cabaran terang-terangan” kepada perjanjian “satu negara, dua sistem” yang membenarkan Hong Kong mempunyai undang-undang sendiri, memberikan hak istimewa termasuklah kebebasan bersuara kepada penduduk kawasan itu.
AS berkata Trump akan membincangkan isu Hong Kong ketika bertemu Presiden China Xi Jinping pada G20 di Jepun pada Sabtu apabila kedua-dua pemimpin bersetuju menyelesaikan perang perdagangan antara mereka.
Ditanya sama ada kedua-dua pemimpin ada berbincang tentang Hong Kong, Geng merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang tidak menyebut topik itu.
“Pendirian China terhadap Hong Kong konsisten dan jelas dan tegas serta saya percaya AS tahu benar perkara ini,” katanya. – AFP, 2 Julai, 2019.
Komen