POLIS Turki melancarkan serbuan di seluruh negara pada Selasa untuk menangkap 122 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan merampas kuasa pada 2016, lapor media negara itu.
Pihak pendakwaan dari Istanbul, Konya dan Izmir mengeluarkan berpuluh waran tangkap terhadap suspek termasuk anggota tentera—sebahagiannya masih bertugas dan ada yang telah dipecat—menurut agensi berita Anadolu.
Menurut agensi berita berkenaan, setakat ini 41 suspek telah ditangkap.
Sejak cubaan untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, puluhan ribu individu telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pendakwah Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, yang dituduh sebagai dalang mengarahkan rampasan kuasa itu.
Beliau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.
Sejak 2016, lebih 140,000 pekerja sektor awam dipecat atau digantung tugas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Gulen. – AFP, 2 Julai, 2019
Komen