SEORANG militan Filipina disyaki melakukan serangan bunuh diri minggu lepas di selatan negara itu, kata seorang jeneral tentera hari ini.
Serangan bunuh diri jarang berlaku di negara itu, tetapi ini kali pertama ia disyaki dilakukan oleh warganya sendiri.
Pengeboman pada Jumaat di sebuah kem tentera di Pulau Jolo membunuh sekurang-kurangnya lima orang, kata pihak berkuasa lagi.
Mejar Jeneral Cirilito Sobejana memberitahu AFP yang mayat penyerang sudah dikenal pasti oleh ibu dan adik beradiknya, tetapi ujian DNA perlu dilakukan untuk pengesahan lanjut.
Sobejana berkata penyiasat tidak menolak kemungkinan yang bom itu diletupkan secara jarak jauh dan suspek berusia 23 tahun itu yang disyaki ada hubungan dengan kumpulan Abu Sayyaf hanya membawanya.
“Kemungkinan ia pengemboman bunuh diri tinggi, tetapi kami juga mempertimbangkan kemungkinan lain,” tambahnya.
Sekiranya disahkan, suspek akan menjadi penyerang bunuh diri warga tempatan pertama di negara itu, sedangkan pihak berkuasa sudah lama menegaskan taktik itu bertentangan dengan budaya tempatan.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana pada Isnin berkata serangan itu “jelas sekali serangan bunuh diri”, menyifatkannya sebagai perkembangan penting di kawasan selatan negara itu yang bergolak.
Kumpulan pemberontak sudah membunuh ribuan orang sejak perjuangan mereka menuntut kawasan pemisah untuk orang Islam di negara majoriti Katolik itu.
Ketua tentera berkata serangan pada Jumaat itu adalah serangan bunuh diri ketiga berlaku di Filipina selepas serangan Julai 2018 di Pulaun Basilan dan Januari lalu di sebuah gereja Katolik di Jolo.
Kumpulan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab, yang turut mengaku bertanggungjawab atas serangan ganas dilakukan Abu Sayyaf.
Pihak berkuasa menyalahkan pengganas asing untuk dua serangan sebelum ini yang membunuh lebih 30 orang.
Sobejana menambah yang suspek adalah ahli kumpulan serpihan Abu Sayyaf, Hajan Sawadjaan yang didakwa merancang serangan di Jolo, Januari lepas.
Abu Sayyaf juga dipersalahkan untuk beberapa siri serangan terburuk dalam sejarah Filipina, termasuk penculikan warga asing.
Ahli kumpulan itu berikrar taat setia kepada IS, termasuklah mereka yang terlibat dalam penaklukan bandar Marawi pada 2017. – AFP, 2 Julai, 2019.
Komen