BEKAS pemandu Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu mahkamah tinggi tengahari tadi yang beliau mendapat arahan pada Jun 2016 supaya menunaikan cek bernilai RM 2 juta kepada syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Nik Yahaya Nik Mustapha memberitahu beliau tidak tahu tujuan bayaran itu dibuat.
“Cek bertarikh 14 Jun 2016 daripada Aset Kayamas Sdn Bhd berjumlah RM2 juta dan saya terimanya dari Tengku Adnan pada hari itu dipejabatnya.
“Saya diarahkan memasukkan cek itu ke dalam Tadmansori Holdings,” kata Nik Yahaya yang merupakan pemandu Tengku Adnan sejak 1994 hinggalah Jun 2018.
“Saya tidak tahu tentang cek itu dan saya tidak tahu siapakah orangnya (yang memberi cek) dari Aset Kayamas,” jelasnya.
Ditanya peguam bela Tan Hock Chuan jika Tengku Adnan pernah memberi arahan menunaikan cek lain sebelum itu, Nik Yahaya berkata beliau tidak ingat.
“Dia pemurah tetapi saya tak ingat jika ada arahan serupa untuk tunaikan cek,” katanya.
Ditanya sekali lagi jika sudah jadi amalan biasa untuk Tengku Adnan memintanya menunaikan cek, Nik Yahaya mengulangi beliau tidak ingat.
Nik Yahaya adalah pemandu dan pengawal peribadi Tengku Adnan selama 24 tahun sebelum meletak jawatan tahun lepas.
Sebelum itu, seorang pegawai CIMB mengesahkan syarikat berkaitan dengan ahli Parlimen Putrajaya itu menerima cek RM2 juta.
Khairolrony Kamarudin berkata cek itu dikeluarkan pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd.
Seorang lagi saksi, Muhammad Akmaludin Abdullah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula memberi keterangan yang Tadmansori didaftarkan pada 25 Ogos 1987 sebagai sebuah syarikat pelaburan dan Tengku Adnan adalah pemegang kepentingan terbesar.
Perbicaraan akan disambung pagi esok.
Hari ini adalah hari pertama perbicaraan dan ia dijangka berlanjutan sehingga Khamis.
Tarikh lain bicara ditetapkan pada 9 hingga 11, 16, 18 dan 29 Julai serta 1 dan 2 Ogos depan. – 2 Julai, 2019.
Komen