SEKURANG-KURANGNYA 16 orang terbunuh dalam dua insiden tembok runtuh di India hari ini, lapor agensi berita Anadolu.
Seramai 13 orang dilaporkan maut di wilayah Malad dan ramai lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan, menurut pegawai.
Dalam satu lagi kejadian, tiga terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas dinding sekolah runtuh dan menghempap dua buah rumah berhampiran di bandar Kalyan, memetik Televisyen New Delhi (NDTV).
“Saya sedih dengan kejadian itu. Semoga keluarga mangsa yang terbunuh tabah menghadapi dugaan ini dan mereka yang cedera segera pulih,” kata Ketua Menteri Maharashtra Devendra Fadnavis.
Beliau juga mengumumkan pemberian pampasan 500,000 rupee (US$7,250) kepada semua mangsa.
Tahun ini, menyaksikan Mumbai dilanda musim monsun terburuk apabila dalam tempoh dua hari bandar itu menerima jumlah hujan paling banyak. Agensi cuaca swasta Skymet meramalkan Mumbai mungkin dilanda banjir besar antara 3 dan 5 Julai.
“Sepanjang tempoh itu, bandar berkenaan dijangka menerima jumlah hujan hampir 200 milimeter setiap hari dan ia boleh menjejaskan aktiviti harian.”
Kerajaan turut mengumumkan hari ini sebagai cuti umum di Mumbai sebagai langkah berjaga-jaga, ekoran hujan lebat berterusan dan menasihatkan orang ramai mengelak sebarang aktiviti luar. Semua sekolah dan kolej ditutup sehingga Selasa.
Malam tadi, beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan akibat penutupan landasan di lapangan terbang Mumbai. – Bernama, 2 Julai, 2019
Komen