Cek RM2 juta dikeluarkan untuk syarikat Tengku Adnan, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Pegawai Bank CIMB Khairolrony Kamarudin berkata, akaun milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd dibuka oleh tertuduh pada 1998.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Julai, 2019

SEORANG pegawai dari CIMB memberitahu mahkamah hari ini, syarikat yang mempunyai kaitan dengan Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor menerima RM2 juta dalam bentuk cek.

Saksi dalam perbicaraan kes Tengku Adnan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khairolrony Kamarudin berkata, cek berkenaan adalah dari pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd.

“RM2 juta dikeluarkan menerusi cek daripada Hong Leong Islamic Bank, bertarikh 14 Jun, 2016,” kata penolong pengurus CIMB cawangan Taman Setiawangsa itu.

Cek berkenaan didepositkan ke akaun milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

Menurut Khairolrony, Tadmansori mempunyai akaun dengan CIMB sejak 8 Julai, 1998, ketika bank berkenaan dikenali dengan nama Bank Bumiputera Malaysia Bhd.

Pegawai berkenaan berkata, individu yang membuka akaun terkini itu adalah Tengku Adnan Tengku Mansor dan Tengku Rethwan Tengku Mansor.

Tengku Adnan merupakan penandatangan cek Tadmansori sejak 1 Julai, 1998 hingga 21 Januari, 2001, tambah pegawai terbabit.

Bekas menteri wilayah persekutuan itu didakwa menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Chia Kin Hong, iaitu pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, yang mana ia didepositkan ke akaun Tadmansori Holdings, walaupun mengetahui Chia mengendalikan syarikat yang berurusan dengan kementerian yang diterajuinya.

Tengku Adnan didakwa melakukan keslahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun, 2016, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ditanya mengenai transaksi bank lain oleh peguam bela Tan Hock Chuan, Khairolrony berkata terdapat tiga lagi transaksi pada Jun 2016.

“Tiga transaksi daripada RM2 juta itu didepositkan ke akaun syarikat pada 6, 16 dan 17 Jun,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muhammad Akmaludin Abdullah dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, memberi keterangan bahawa Tadmansori ditubuhkan pada 25 Ogos, 1987 sebagai sebuah syarikat pelaburan dan Tengku Adnan merupakan pemegang saham terbesarnya.

Terdapat empat pengarah lain iaitu Tengku Rethwan, Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan, Tengku Daud Shah Tengku Adnan dan Anggraini Sentiyaki.

Dua lagi saksi akan dipanggil untuk beri keterangan hari ini. – 2 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen