EMPAT bangunan di California, Amerika Syarikat terpaksa dikosongkan selepas fasiliti mel Facebook semalam menerima satu bungkusan mencurigakan yang disyaki mengandungi bahan berbahaya, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan jurucakap Facebook, Anthony Harrison.
Terdahulu pada hari sama, media melaporkan menurut pegawai Bomba Daerah Menlo Park, sebuah mesin di fasiliti mel itu memberi amaran kepada pekerja bahawa satu bungkusan yang diterima mungkin mengandungi agen saraf sarin.
“Pagi ini, satu bungkusan yang dihantar ke bilik mel kami dianggap mencurigakan,” kata Harrison.
“Kami mengosongkan empat bangunan dan sedang menjalankan siasatan rapi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan.
“Pihak berkuasa belum mengenal pasti bahan yang diterima. Setakat ini, tiga bangunan yang dikosongkan diberi pelepasan untuk diduduki semula.”
Harrison berkata maklumat lanjut akan dikongsi jika ada.
Bomba berkata dua petugas mungkin terdedah kepada bahan itu. – Bernama, 2 Julai, 2019.
Komen