Penumpang kurang jika tambang e hailing naik, kata menteri


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Menteri Pengangkutan Anthony Loke tidak menolak kemungkinan penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing akan berkurangan sekiranya berlaku kenaikan harga disebabkan peperiksaan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang perlu dilalui pemandunya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Julai, 2019.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke tidak menolak kemungkinan penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing akan berkurangan sekiranya berlaku kenaikan harga disebabkan peperiksaan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang perlu dilalui pemandunya.

Loke berkata, Putrajaya tidak menetapkan sebarang harga kawalan bagi perkhidmatan itu sebaliknya ia terpulang kepada pasaran semasa.

“Harga kekal itu terpulang pada syarikat-syarikat operator e-hailing, harga e-hailing ini tidak ada satu harga lantai dan siling, terpulang pada pasaran.

“Tapi yang saya tahu kalau syarikat-syarikat e-hailing meningkatkan harga tambang maka penumpang akan berkurangan, terpulang pada syarikat operator,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Loke berkata, pihaknya juga dimaklumkan terdapat syarikat operator e-hailing dari luar negara sedang mengintai peluang untuk memasuki pasaran negara  sekaligus menjadikan harga tambang lebih kompetetif.

“Sebab akan ada banyak persaingan malah akan ada syarikat lain sedang tubuhan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Jadi akan ada banyak persaingan dan harga akan lebih kompetetif,” kata Loke yang juga merupakan ahli Parlimen Seremban.

Beliau turut menolak dakwaan beberapa pihak mengatakan soalan ujian PSV itu sukar untuk menjawab.

“Kalau pemandu gagal tiada masalah, mereka boleh menduduki semula, tiada siapa yang halang, mereka ada kursus dan boleh duduki semula. kali pertama mungkin tidak arif, tapi kalau gagal mereka boleh daftar dan duduki semula. hari kedua atau hari-hari seterusnya. 

“Saya semalam pun duduki ujian itu sebab saya sengaja ingin mengetahui soalan-soalan yang ditanya, saya lulus semalam, dapat 82 markah…daripada 60 soalan saya dapat jawab 49 soalan walaupun saya tak ikuti kursus itu sebab banyak soalan itu logik,” kata Loke lagi.

Tambahnya, mana-mana pemandu e-hailing yang menghadiri kursus sudah pasti akan lulus ujian berkenaan.

“Kalau duduki kursus itu saya yakin ramai akan lulus, banyak soalan logik dan memang pemandu semua akan tahu. 

“Kalau duduki kursus, ramai akan lulus,  kalau tak duduki kursus, memang tak akan tahu, macam saya tak duduki kursus, memang ada yang saya tak tahu, daripada 49 soalan saya jawab betul dan 11 tidak betul sebab tak duduki kursus,” katanya. – 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen