TIGA minggu sebelum pasukan petugas khas berkenaan kehilangan aktivis diumumkan, keluarga Amri Che Mat menghantar surat tuntutan ke Putrajaya, menuntut ganti rugi kerana polis gagal bertindak dan atas kesengsaraan yang terpaksa dilalui keluarga itu.
Amri ialah pengasas Perlis Hope, satu kumpulan persatuan sivil yang memberi bantuan kepada golongan miskin. Beliau diculik pada 2016 di kawasan berhampiran rumahnya di Perlis.
Isterinya, Norhayati Mohd Ariffin memberitahu The Malaysian Insight surat tuntutan itu dihantar pada 31 Mei, 2019. Putrajaya tidak pernah menjawab surat itu walaupun diberi tempoh dua minggu untuk berbuat demikian.
“Kami belum buat keputusan tentang langkah seterusnya,” katanya ketika ditanya adakah keluarga itu akan mengheret kerajaan ke mahkamah.
“Namun, saya kecewa kerajaan mengabaikan surat kami.
“Tambahan lagi, isu pasukan petugas itu menunjukkan kerajaan tidak berminat dalam membantu kami mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan untuk Amri dan Raymond (Koh).”
Beliau merujuk kepada komposisi pasukan itu, separuh daripadanya anggota polis, termasuk seorang pegawai yang mewakili polis ketika siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Ini mencetuskan kemarahan keluarga Amri dan Koh serta beberapa kumpulan persatuan sivil.
Bagaimanapun, semalam pegawai berkenaan, bekas ketua perundangan undang-undang Mokhtar Mohd Nor menarik diri daripada pasukan petugas itu.
Kementerian Dalam Negeri berkata dalam satu kenyataan penarikan diri Mokhtar susulan bantahan awam berhubung komposisi panel itu.
Siasatan awam itu menyalahkan Cawangan Khas di ibu pejabat polis Bukit Aman, atas kehilangan dua aktivis berkenaan.
Peguam Surendra Ananth yang mewakili keluarga Norhayati berkata tuntutan itu berkaitan dengan kerugian ditanggung keluarga itu selama dua tahun setengah lalu, akibat kegagalan polis menyiasat kes berkenaan.
“Tuntutan itu secara asasnya berkenaan kerugian ditanggung keluarga kerana kegagalan polis menyiasat perkara itu selama dua tahun setengah lalu.
“Ini melanggar hak perlembagaan keluarga ini. Polis mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk secara efektif menyiasat aduan jenayah,” kata Surendra kepada The Malaysian Insight.
Mengenai jumlah tuntutan ganti rugi yang dimohon, Surendara berkat kerajaan diberikan pilihan untuk membuat cadangan.
“Kami mempelawa kerajaan untuk mencadangkan jumlah.”
Surat itu dihantar ke Pejabat Peguam Negara atas kapasiti sebagai peguam kerajaan dan salinan diberikan kepada polis.
Mengulas tentang komposisi pasukan petugas khas itu, Surendra berkata penting untuk ada pegawai penguatkuasaan yang berkuasa untuk menyiasat.
“Penting untuk pasukan itu ada kuasa untuk menyiasat secara berkesan. Bagi tujuan itu, perlu ada kehadiran polis yang kuat.
“Ia mungkin dalam bentuk seseorang daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau polis.
“Ini bagi membolehkan pasukan itu memanggil individu untuk soal siasat dan menahan sesiapa jika perlu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Surendra berkata lebih baik jika ada wakil dari Pejabat Peguam Negara dalam panel itu kerana ia dapat membantu memulakan proses pendakwaan jika perlu. – 3 Julai, 2019.
Komen