DISENARAIKAN atau tidak, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus telus mengenai berapa ramai ahli lembaga dan ketua pegawai eksekutif mereka yang dibayar imbuhan, kata Transparency International Malaysia (TI-M) selepas pemegang saham FGV Holdings Berhad menolak usul membayar yuran kepada pengarah syarikatnya baru-baru ini.
Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan memberitahu The Malaysian Insight bahawa GLC mesti mendedahkan pakej imbuhan untuk lembaga pengarah dan eksekutif tertinggi mereka “sama ada syarikat mereka tersenarai atau tidak senarai”.
Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dikehendaki mendedahkan imbuhan pengarah dalam laporan tahunan mereka.
Bagaimanapun ini tidak berlaku bagi syarikat tidak tersenarai yang tidak dikehendaki membuat pendedahan tersebut.
Muhammad berkata, Akta Syarikat 2016 dan undang-undang berkaitan lain perlu dipinda untuk memasukkan peruntukan yang mengkehendaki GLC mendedahkan maklumat tersebut.
“Peraturan semasa tidak memaksa syarikat tidak tersenarai untuk mendedahkannya. Tidak ada cara untuk mengetahui kebanyakan syarikat terutamanya untuk syarikat tersenarai yang diambil swasta,” katanya.
Muhammad berkata, jawatankuasa imbuhan juga harus berhemat dalam menentukan jumlah yang betul terutama jika syarikat itu tidak berada dalam kedudukan kewangan yang baik.
Pada mesyuarat agung tahunan FGV minggu lepas, tiga pemegang saham utamanya – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) enggan meluluskan pakej imbuhan pengarah dalam satu mesyuarat yang berlangsung selama lima jam.
Felda memegang ekuiti 33.7% dalam FGV manakala KPF memegang 5.25% dan LTAT 1.25%.
Pada dasarnya, ini bermakna ahli lembaga akan bekerja untuk 2018 tanpa gaji. – 2 Julai, 2019
Berita penuh di sini.
Komen