Indonesia tahan pemimpin JI, dalang insiden bom Bali 2002


Polis Indonesia menunjukkan gambar pemimpin Jemaah Islamiah Para Wijayanto yang ditahan pada Sabtu lalu. – Gambar AFP, 2 Julai, 2019.

POLIS Indonesia menahan seorang individu dipercayai pemimpin Jemaah Islamiah, jaringan berkait dengan ekstremis Al-Qaeda, yang melancarkan serangan bom di Bali pada 2002 hingga menyebabkan lebih 200 terbunuh.

Para Wijayanto ditahan oleh polis anti keganasan bersama isterinya pada Sabtu di sebuah hotel di Bekasi, pinggir bandar Jakarta, kata jurucakap polis Dedi Prasetyo.

Polis berkata Wijayanto sudah lama menjadi pemimpin Jemaah Islamiah (JI), antara kumpulan pengganas paling lama di Indonesia, yang menjadi dalang beberapa siri serangan maut di negara majoriti Islam itu.

Prasetyo berkata Wijayanto juga disyaki menghantar sekurang-kurangnya enam pasukan rakyat Indonesia untuk berjuang di Syria, dan memberikan sokongan kepada militan di Poso di kepulauan Sulawesi.

JI yang dikaitkan dengan Al-Qaeda ditubuhkan oleh sekumpulan militan Indonesia yang melarikan diri ke Malaysia pada 1980-an, dan berkembang ke seluruh Asia Tenggara.

Kumpulan itu bertanggungjawab atas serangan pengganas paling teruk di Indonesia, iaitu serangan bom di Bali pada 2002 yang menyebabkan warganegara dari sekurang-kurangnya 21 negara, termasuk 38 rakyat Indonesia, terbunuh.

Ia turut dipersalahkan atas insiden pengeboman kereta pada 2003 di hotel JW Marriott di Jakarta yang menyebabkan berpuluh-puluh maut. – AFP, 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen