Serangan di Sri Lanka, ketua polis mungkin didakwa


Pendakwa berkata Ketua Polis Negara Pujith Jayasundara dan Setiausaha Pertahanan Hemasiri Fernando gagal bertindak terhadap amaran awal tentang serangan bunuh diri pada 21 April di Sri Lanka. – Gambar AFP, 2 Julai, 2019.

KETUA polis Sri Lanka dan pegawai kanan pertahanan patut dibicarakan susulan jenayah terhadap kemanusiaan kerana gagal mencegah insiden pengeboman semasa sambutan Easter hingga menyebabkan 258 maut, kata pihak pendakwa raya.

Dappula de Livera berkata Ketua Polis Negara Pujith Jayasundara dan Setiausaha Pertahanan Hemasiri Fernando gagal bertindak terhadap amaran awal tentang serangan bunuh diri pada 21 April itu.

“Dua pegawai itu patut dibawa ke hadapan majistret atas kecuaian jenayah mereka untuk menghalang serangan 21 April,” kata Livera dalam satu surat kepada pemangku ketua polis.

Katanya, ada bukti mencukupi untuk mendakwa kedua-duanya atas kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati. Bagi pertuduhan kecuaian hingga menyebabkan kerosakan harta benda, mereka berdepan hukuman penjara 52 tahun.

Kedua-dua mereka patut dilayan sebagai suspek jenayah, kata de Livera, memberi isyarat mereka patut ditahan.

Beliau mengarahkan pemangku ketua polis Chandana Wickramaratne mengambil keterangan daripada kedua-duanya dan membawa mereka ke mahkamah dengan segera. – AFP, 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen