Kempen #UnwantedIvanka persenda anak perempuan Trump


Ivanka kelihatan duduk di sebelah bapanya Presiden AS Donald Trump pada satu program pemerkasaan wanita sempena sidang kemuncak G20. – Gambar AFP, 2 Julai, 2019.

IVANKA Trump dipersendakan selepas pengkritik bercakap tentang peranan pentingnya ketika sidang kemuncak di Jepun dan Korea Selatan baru-baru ini.

Kapasiti rasmi Ivanka adalah sebagai penasihat presiden iaitu bapanya Donald Trump dan beliau sering ada di White House.

Tetapi jika rakyat Amerika Syarikat (AS) sering melihatnya dalam mesyuarat Kabinet dan dalam majlis rasmi, semakin kurang penerimaan rakyat apabila beliau muncul ketika sidang kemuncak G20 di Osaka dan sekali lagi ketika lawatan dramatik Trump ke Korea Selatan, yang menyaksikan beliau turut ke sempadan, Korea Utara.

Ivanka dan suami, Jared Kushner dilihat berada dalam rombongan presiden di Osaka ketika Trump mengadakan pelbagai perbincangan tentang isu diplomatik dengan pemimpin G20 yang lain.

Beliau juga berada di sebelah bapanya ketika ke zon tanpa tentera yang memisahkan Korea Selatan dan Korea Utara bagi melakukan mesyuarat tergempar penuh dramatik dengan pemimpin Kim Jong Un.

Satu klip video dari Osaka menunjukkan pertemuan kekok antara Ivanka dan beberapa pemimpin dunia, kini tular.

Video itu menunjukkan Perdana Menteri Britain Theresa May, ketua IMF Christine Lagarde, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau sedang bercakap tentang masalah dasar ketika anak perempuan Trump itu tiba-tiba datang.

Ivanka cuba menyertai perbualan itu tetapi tidak diendahkan oleh Lagarde yang berdiri betul-betul di sebelahnya. – AFP, 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen