POLIS Hong Kong melepaskan gas pemedih mata awal pagi tadi untuk mendapatkan kembali kawalan ke atas Parlimen selepas ribuan penunjuk perasaan merempuh masuk bangunan itu menjelang ulang tahun penyerahan kawasan itu kepada China.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata penunjuk perasaan “mencari demokrasi”, menambah “malangnya, sesetengah kerajaan tidak mahu demokrasi” – satu kata-kata keras untuk Beijing.
Hab kewangan semi autonomi itu gempar dengan tunjuk perasaan besar-besaran selama tiga minggu susulan bantahan terhadap rang undang-undang (RUU) yang membenarkan ekstradisi ke tanah besar China.
Tetapi semalam, kemarahan rakyat mencecah ke paras yang tidak pernah dilihat selama bertahun-tahun.
Penunjuk perasaan dengan memakai topeng – kebanyakannya golongan muda n memakai topi kuning – memecah masuk ke Parlimen selepas berjam-jam bertembung dengan polis.
Mereka menggeledah bangunan itu, dan menconteng dindingnya dengan grafiti anti kerajaan, sebagai satu cabaran kepada pihak berkuasa dan Beijing.
Polis sebelum itu memberi amaran bakal berlaku kekerasan, dan selepas tengah malam, pegawai mula masuk ke Parlimen dari beberapa arah, melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menggunakan baton ketika merempuh – menyebabkan asap ke seluruh bandar itu.
Pada sidang media awal pagi tadi, pemimpin Hong Kong Carrie Lam mengutuk keganasan melampau yang merempuh ke bangunan itu, di mana beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “mengecewakan dan mengejutkan”.
Turut hadir pada sidang media itu, ketua polis Stephen Lo yang berkata: “Tindakan keganasan penunjuk perasaan melampaui batas tuntutan keamanan.”
Terdahulu, sekumpulan besar aktivis berarak mendesak Lam, yang juga ketua eksekutif lantikan Beijing, meletak jawatan dan mengembalikan kebebasan rakyat.
Tetapi suasana bertambah teruk, dan sekumpulan penunjuk perasaan merempuh Parlimen selepas berjam-jam menawan bangunan itu.
Sebaik berada di dalam bangunan, mereka mengoyakkan gambar pemimpin Hong Kong, menaikkan bendera era penjajahan British di dewan utama dan mengecat hitam lambang bandar itu.
Kebanyakan penunjuk perasaan berkata mereka berasa bertanggungjawab untuk bertindak kerana pemimpin menafikan sentimen rakyat.
“Kami sudah berarak, tetapi kerajaan masih tidak bertindak,” kata Joey, 26, yang turut sama membuat bantahan.
“Kami perlu tunjuk pada kerajaan yang kami tidak akan hanya duduk dan tidak buat apa-apa.
Bangunan Parlimen akan ditutup hari ini.
Sepanjang tiga minggu perhimpunan itu diadakan, menjadi penunjuk jelas kebimbangan rakyat terhadap pengaruh China ke atas wilayah itu selama berdekad.
Penunjuk perasaan menuduh Beijing menyekat kebebasan dan budaya Hong Kong dengan bantuan pemimpin yang tidak dipilih oleh rakyat.
Walaupun Hong Kong dipulangkan dari British kepada pemerintahan China pada 1 Julai, 1997, ia masih ditadbir secara berasingan dalam satu perjanjian dikenali sebagai “satu negara, dua sistem”.
Hong Kong menikmati hak dan kebebasan yang tidak ada di tanah besar autokratik itu, tetapi ramai penduduk bimbang bila Beijing bersiap sedia meminda persetujuan itu,
Aktivis menganjurkan perarakan setiap kali ulang tahun penyerahan, mendesak kebebasan demokratik – contohnya hak untuk memilih pemimpin Hong Kong. – AFP, 2 Julai, 2019.
Komen