KEBANYAKAN pemimpin akar umbi Umno menyambut baik keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugasnya sebagai presiden Umno berkuatkuasa semalam.
Namun, mereka mengingatkan Zahid supaya tidak gopoh dan berhati-hati dalam membuat kenyataan dan tindakan supaya tidak menjejaskan kebangkitan semula parti itu.
Seorang pemimpin Umno bahagian Shah Alam Wan Indra Putra Ahmad beliau berharap tempoh percutian itu membuatkan Zahid lebih tenang.
“Cuma saya berharap selepas enam bulan bercuti ini, beliau lebih tenang dalam setiap ulasan atau kenyataan yang dibuat. Jangan terlalu berlebih-lebihan dalam ucapan.
“Bekerjalah dengan berhikmah bersama dengan majlis tertinggi, rakan komponen Barisan Nasional dan juga PAS. Lebihkan tindakan daripada bercakap,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Wan Indra memberi contoh kenyataan Zahid yang mengulas mengenai pembahagian kerusi Umno dan PAS di Pulau Pinang baru-baru ini yang disifatkan beliau gopoh dan pramatang.
Ia berhubung sokongan Zahid kepada Umno negeri untuk bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN dengan kerjasama PAS dalam PRU15 untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri.
Disember lalu, Zahid yang diasak untuk meletak jawatan mengambil keputusan untuk bercuti dan menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya, Mohamad Hasan.
Keputusan itu dibuat apabila beliau diheret ke mahkamah dengan 45 tuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan lebih RM114 juta.
Selain itu, Zahid juga dikritik hebat apabila tersebar berita beliau sedang menggerakkan usaha cuba mendapat sokongan akar umbi untuk Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Bagaimanapun, keputusan untuk kembali menjalankan tugas presiden itu tetap diterima oleh pemimpin akar umbi seperti Ketua Umno Bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifah.
Katanya, ahli parti perlu menerima keputusan Zahid itu dengan berlapang dada dan memberi fokus kepada penyatuan ummah dengan PAS yang menjadi agenda utama Umno ketika ini.
“Ahli parti diminta supaya tidak berbalah di media sosial dan terus setia di bawah kepimpinan presiden kita yang mana ianya adalah satu titik tolak kebangkitan Umno yang sudah mula diterima kembali.
“Fokus kita juga adalah memperkuatkan lagi penyatuan ummah yang sudah terbina ini yang tentu sekali berjaya menarik minat rakyat untuk membela nasib mereka demi mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Namun ada juga yang sangsi dengan tujuan sebenar keputusan Zahid untuk kembali menjalankan tugas itu, seperti Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau Syed Atif Syed Abu Bakar.
Katanya, ia perlu dijelaskan kerana Zahid terdahulu mengumumkan akan hanya kembali menjalankan tugas itu apabila berlaku peristiwa besar dalam negara mengikut kasyaf para ulama.
“Peristiwa besar apakah yang telah berlaku di dalam negara sehingga membawa kepada keputusan presiden menamatkan cuti beliau hari ini?” soalnya.
Tambah Syed Atif, tanpa penjelasan tersebut, ahli Umno akan tertanya-tanya mengenai perkembangan politik dan boleh menjejaskan kelancaran perjalanan parti.
Sokongan ke atas Zahid turut disuarakan ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang berpendapat ia akan membantu mempergiat penyatuan dan kerjasama dengan PAS.
Sentimen sama turut disuarakan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang percaya ia akan menguatkan parti.
“Umno Sabah berkeyakinan misi dan gerak kerja parti akan lebih diperkuatkan dengan keputusan terbaru ini. Kita mesti bersama memperkukuhkan parti,” katanya. – 2 Julai, 2019.
Komen