Protes di Hong Kong makin tegang, penunjuk perasaan rempuh masuk Parlimen


Penunjuk perasaan di Hong Kong bertindak ganas menjelang sambutan ulang tahun penyerahan kota itu kepada China. – Gambar EPA, 1 Julai, 2019.

PENUNJUK perasaan merempuh masuk bangunan Parlimen Hong Kong sebentar tadi menjelang ulang tahun penyerahan kawasan itu kepada China, memecahkan tingkap dan pintu kaca kebal dan jeriji besi yang mengheret kota itu kepada krisis lebih buruk.

Tindakan terbaru itu meningkatkan ketegangan di hub kewangan dunia itu.  Bantahan mega bersejarah menentang rang undang-undang yang membolehkan ekstradisi ke tanah besar China itu sudah masuk minggu ketiga.

Puluhan ribu aktivis demokrasi mengadakan bantahan aman sejak tengahari tadi, menggesa pemimpin pro Beijing meletak jawatan dan mengembalikan semula kebebasan yang sejak beberapa tahun lepas terhakis.

Tetapi, bantahan itu dibayangi tindakan sekumpulan penunjuk perasaan yang rata-rata orang muda memakai topeng yang menghalang laluan masuk ke Parlimen selama berjam-jam, mencetuskan pergaduhan dengan polis selepas bantahan aman yang bermula dua minggu lalu itu.

Di bawah bahang matahari, penunjuk perasaan orang muda berulang kali cuba merempuh masuk bangunan itu, menggunakan kereta sorong besi untuk melanggar penghalang dan menggunakan cangkuk besi untuk membuka tingkap kebal.

Polis anti rusuhan yang ditempatkan di dalam bangunan itu bertindak balas dengan menyembur serbuk lada kepada pembantah, yang menggunakan paying untuk melindungi daripada terkena semburan itu.

Tetapi selepas enam jam, penunjuk perasaan berjaya memasuki bangunan itu dan merosakkan gambar pemimpin kota itu.

Penunjuk perasaan memecahkan pintu dan tingkap kaca kebal Parlimen sebelum merempuh masuk. Bangunan itu kini dikepung dan ditutup sepenuhnya. – Gambar EPA, 1 Julai, 2019.

Polis anti rusuhan pula berundur ke dalam bangunan atau sudah diarahkan meninggalkan bangunan itu, yang kini dikepung dan ditutup, lapor seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Ramai penunjuk perasaan yang ditemui berkata mereka berasa perlu bertindak kerana pemimpin bandar itu yang pro Beijing tidak menghiraukan sentimen penduduk.

“Kami tahu ini langgar undang-undang, tapi kami tiada pilihan,” kata penunjuk perasaan berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Cheung kepada AFP.

Bantahan mega yang sudah masuk minggu ketiga itu adalah gambaran terbaru ketakutan bertambah dengan tindakan China menekan kebebasan dan budaya di kota itu dengan bantuan pemimpin Hong Kong pro Beijing.

Tetapi, tindakan ganas sesetengah penunjuk perasaan menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan mereka, dengan wujud bantahan menyokong polis bertindak berlaku semalam.

Walaupun Hong Kong dikembalikan kepada China daripada jajahan British pada 1 Julai 1997, ia mempunyai pentadbiran tersendiri menurut perjanjian dikenali sebagai “satu negara, dua sistem”.

Kota itu menikmati kebebasan dan hak tidak seperti mana tanah besar, tetapi ramai penduduk merasakan Beijing mula meluaskan cengkaman ke atas mereka.

Aktivis menganjurkan bantahan setiap ulang tahun penyerahan, menggesa kebebasan demokrasi lebih besar- seperti hak memilih pemimpin bandar itu.

Ia menarik khayalak besar setiap tahun-termasuk pendudukan selama dua bulan di sesetengah kawasan utama bandar pada 2014- tetapi gagal mengubah pendirian tegas Beijing.

Jutaan penduduk Hong Kong menyertai bantahan mega yang sudah masuk minggu ketiga. – Gambar EPA, 1 Julai, 2019.

Bantahan tahun ini bagaimanapun menarik jutaan rakyat dan sudah berlaku selama tiga minggu, malah ia turut mencetuskan kemarahan apabila polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Ia menerima sokongan ramai selepas cubaan Ketua Eksekutif Carrie Lam untuk meluluskan undang-undang ekstradisi disokong Beijing, yang kini ditunda selepas kemarahan awam.

Tetapi beliau enggan menerima desakan meminta undang-undang itu dibatalkan sepenuhnya dan meletak jawatan.

Keengganan itu menyebabkan sokongan rakyat terhadap tunjuk perasaan bertambah, melawan pentadbirannya dan Beijing.

Polis berkata 13 anggotanya dihantar ke hospital selepas disembur “cecair tidak diketahui” oleh penunjuk perasaan, kerajaan juga mengeluarkan kenyataan mengecam tunjuk perasaan kerana menggunakan “keganasan melampau.”

Tetapi, aktivis berikrar akan meneruskan bantahan mereka.

“Apa pun yang berlaku kami tidak akan mengalah,” kata Jason Chan, 22, seorang akauntan yang menambah: “Penentangan bukan soal sehari atau seminggu, ia berlaku untuk jangka panjang.” – AFP, 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen