Pandangan pelbagai pihak diambil kira untuk pindaan RUU Perhimpunan Aman


Ragananthini Vethasalam

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata antara pihak terlibat adalah Badan Peguam, Lawyers for Liberty, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia dan Persatuan Hak Asasi Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.

PELBAGAI pihak berkepentingan sudah diajak berbincang tentang cadangan pindaan untuk membenarkan protes jalanan, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri itu berkata antara pihak terlibat adalah Badan Peguam, Lawyers for Liberty, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia dan Persatuan Hak Asasi Nasional.

“Kami sudah ambil kira banyak perkara, dan ini (cadangan pindaan) tidak dilakukan oleh kementerian sahaja,” katanya, menambah yang dua jawatankuasa juga sudah dibentuk untuk meneliti cadangan pindaan itu.

Usaha kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam perkara itu juga menunjukkan ia menyokong kebebasan bersuara, selagi mana ia berada dalam peruntukan undang-undang, katanya lagi.

Ditanya sama ada pindaan itu boleh mewujudkan bantahan mega seperti mana berlaku di Hong Kong, beliau meminta semua pihak menunggu cadangan itu dibentangkan.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen hari ini. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen