Peristiwa 13 Mei tak akan dikaji semula, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata laporan mengenai peristiwa rusuhan 13 Mei itu disediakan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) beberapa bulan selepas kejadian dan ia boleh diakses dengan mudah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.

TIADA keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Kedamaian mengenai peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepong (DAP) Lim Lip Eng sama ada kerajaan bersedia untuk mendedahkan dokumen berkenaan rusuhan 13 Mei dan menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyemak kejadian berkaitan peristiwa itu.

Dalam jawapan bertulis, Liew berkata laporan mengenai peristiwa rusuhan 13 Mei itu disediakan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) beberapa bulan selepas kejadian dan ia boleh diakses dengan mudah.

“Laporan mempunyai maklumat lengkap berserta fakta mengenai peristiwa tersebut.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Kedamaian mengenai peristiwa 13 Mei 1969,” katanya.

Tambah Liew, apa yang lebih penting bagi kerajaan sekarang ini ialah menumpukan usaha untuk menyatu padukan rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negara. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen