Kisah 2 pegawai polis teraniaya bersihkan nama


Alfian Z.M. Tahir

Anggota polis bersumpah setia mempertahankan dan melindungi negara, tetapi dua daripada mereka kini bergelut membersihkan nama kerana salah didakwa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2019.

MEREKA dahulunya angkat sumpah untuk mempertahankan dan melindungi rakyat dan negara, tetapi sekarang dua pegawai polis itu sedang berjuang menentang sistem negara selepas dituduh secara salah terlibat dalam jenayah yang tidak pernah dilakukan.

Salah seorang mereka, Koperal Jusninawati Abdul Ghani ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Mac 2016 kerana didakwa menyembunyikan maklumat aktiviti keganasan.

Beliau memperjuangkan kesnya di mahkamah sehingga sampai ke Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan beliau tidak bersalah dan mengarahkannya dibebaskan pada Mac tahun ini. Beliau juga dilantik semula ke dalam pasukan polis.

Seorang lagi pegawai ialah bekas penolong pesuruhjaya polis Md Ali Amir Batcha yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) selama tiga tahun kerana rompakan bersenjata.

Beliau dibebaskan 20 tahun lalu dan sehingga kini masih berjuang membersihkan namanya. Harapannya untuk mendapat keadilan kembali cerah apabila Ketua Polis Negara baharu dilantik Abdul Hamid Bador bersetuju untuk berjumpanya minggu ini.

The Malaysian Insight bertemu dengan kedua-dua mereka yang kecewa dan marah dilayan seolah penjenayah oleh rakan sepasukan dan orang atasan walaupun tidak ada bukti mengaitkan mereka dengan jenayah.

Bekas penolong pesuruhjaya polis Md Ali Amir Batcha akan berjumpa dengan Ketua Polis Negara baharu dilantik Abdul Hamid Bador minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2019.

Dalam kes Jusninawati, 38, beliau turut dimasukkan ke dalam proses pemulihan suspek pengganas yang disabitkan bersalah.

Beliau adalah pegawai polis di Balai Polis Daerah Petaling Jaya ketika ditahan. Pada Disember 2016, Mahkamah Tinggi menyabitkan beliau bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

“Saya habiskan masa tiga tahun dalam penjara sebagai suspek pengganas. Saya berseorang dalam bilik penjara. Apa proses pemulihan yang mereka katakana itu?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jenayahnya adalah hanya kerana beliau mengenali seorang suspek pengganas Negara Islam (IS) tetapi tidak melaporkannya kepada orang atasan.

Menurutnya, beliau tidak ada kaitan langsung dengan IS dan tidak juga terlibat dalam aktiviti pembiayaan atau merekrut mana-mana rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas digeruni dunia itu.

“Saya hanya tolong kawan untuk berjumpa dengan lelaki yang ingin dikahwininya. Lelaki itu pergi ke Syria dan mati di sana.

“Lelaki itu ada beritahu saya tentang niatnya mahu ke Syria tetapi saya anggap dia serius. Saya jumpa dia bagi pihak kawan saya,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu menambah yang beliau mungkin jadi gila sekiranya rayuan kali keduanya ditolak.

Koperal Jusninawati Abdul Ghani ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Mac 2016 kerana didakwa menyembunyikan maklumat aktiviti keganasan. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Julai, 2019.

Panel lima orang hakim diketuai Alizatul Khair Osman Khairuddin sebulat suara mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara ke atasnya.

Jusninawati kemudian dilantik semula sebagai pegawai polis dan ia disahkan oleh pegawai polis kanan dari Bukit Aman.

Bagaimanapun, situasi sudah berubah. Hubungannya dengan orang atasannya sudah tidak seperti dahulu.

Beliau turut meluahkan kekecewaan di Facebook kerana dipenjarakan untuk jenayah yang tidak dilakukannya.

“Saya tak boleh putar balik jam, jadi saya ambilnya sebagai pengajaran dan pengalaman sekali seumur hidup. Ia buatkan saya lebih kuat,” katanya.

Dalam kes Md Ali pula, bekas ASP itu bersumpah yang beliau diperangkap orang atasannya selepas beliau berjaya melumpukan sebuah kumpulan kongsi gelap yang ada kaitan dengan polis.

“Saya dituduh buat rompakan bersenjata di Kulai, Johor pada 1997 tetapi tak masuk akal sebab saya sudah pun dipindahkan ke kontijen polis Selangor pada 1995,” tambahnya.

Ali ditahan di bawah Ordinan Darurat untuk jenayah rompakan bersenjata. Beliau kemudian dihantar ke Pusat Tahanan Simpang Renggam selama tiga tahun.

“Saya ditahan tanpa bicara. Tiada bukti diberikan,” katanya yang berusia 65 tahun.

“Saya dipaksa mengaku oleh pasukan penyiasat. Saya tak nak mengaku sesuatu yang saya tak buat.

“Selepas gagal mendapat pengakuan dan bukti penglibatan saya, saya dibebaskan dari Simpang Renggam pada 2000 kerana arahan Kementerian Dalam Negeri,” tambahnya.

Ali menyaman polis dan kerajaan pada 2001.

“Saya upah peguam untuk lawan kes. Saya bayar dia RM40,000 dan terpaksa jual rumah. Hakim panggil peguam masuk kamar.

“Peguam keluar dan beritahu saya supaya gugurkan kes.”

Ali berkata selepas perubahan kerajaan, beliau memutuskan untuk sekali lagi membersihkan namanya. Dan beliau berharap ketua polis negara baharu akan menjadikannya satu kenyataan. – 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen