POLIS Thailand menyelamatkan 20 warga Myanmar, termasuk seorang bayi dan lima kanak-kanak, yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia di sebuah rumah kedai di Padang Besar, Sadao, Songkhla pada Sabtu.
Pengarah Pusat Perlindungan Kanak-kanak, Wanita, Keluarga dan Antipemerdagangan Manusia Suchat Theerasawat berkata bunyi bayi menangis serta jeritan kanak-kanak selama beberapa hari di rumah kedai yang ditinggalkan menyebabkan orang ramai membuat laporan polis.
Suchart yang mengetuai operasi menyelamat itu berkata mereka terkejut apabila mendapati sekumpulan pendatang yang lemah dan lapar, dikunci dalam rumah kedai tersebut.
“Apabila tiba, kami mendengar wanita dan kanak-kanak menangis di dalam.
“Setelah memasuki rumah kedai itu, kami mendapati 20 daripada mereka, sembilan lelaki, lima wanita dan bakinya kanak-kanak berumur antara enam dan 14 tahun manakala seorang bayi berusia setahun tiga bulan, berada di dalam rumah kedai itu dalam keadaan sesak.
“Mangsa berkata mereka dikunci selama sekurang-kurangnya lima hari di situ tanpa makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Polis percaya mangsa dikunci di situ sementara menunggu untuk masuk ke sempadan Malaysia.
“Polis kini memburu dalang sindiket pemerdagangan manusia itu,” katanya. – Bernama, 1 Julai, 2019.
Komen