Ahli Parlimen wajib isytihar harta 2 tahun sekali, kata Liew


Ragananthini Vethasalam Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen boleh mengemaskini maklumat dengan Speaker jika terdapat perubahan mengenai jumlah harta mereka dalam tempoh tersebut, kata Menteri Dalam Negeri Liew Vui Keong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.

AHLI Parlimen dikehendaki mengisytihar harta mereka setiap dua tahun sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Beliau yang ditemui pemberita selepas usul mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta diluluskan di Dewan Rakyat berkata, ahli Parlimen boleh mengemaskini maklumat dengan Speaker jika terdapat perubahan mengenai jumlah harta mereka dalam tempoh tersebut.

Liew juga berkata tiada alasan bagi ahli Parlimen enggan mengisytiharkan harta.

“Ini cuma pengisytiharan harta. Tiada siasatan akan dibuat melainkan ada aduan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Jadi, mereka tak perlu bimbang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan pembangkang berkenaan usul tersebut.

Parlimen hari ini meluluskan usul mewajibkan ahli Parlimen mengisytihar harta walaupun ahli Parlimen pembangkang berkata tidak akan menyokong.

Liew berkata semua ahli Parlimen, pasangan, anak-anak dibawah usia 21 tahun dan pemegang amanah mereka kini diberikan masa tiga bulan untuk mengisytiharkan aset kepada Speaker.

Tarikh akhir pengisytiharan adalah pada 1 Oktober ini.

“Jika mereka tak buat pengisytiharan dalam tempoh ini, speaker boleh mencadangkan usul untuk merujuk mereka kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk tindakan tata tertib,” katanya.

Liew berkata semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama.

“Mereka ada tanggungjawab. Mereka diberikan kepercayaan untuk jalankan tugas mereka dan penting untuk rakyat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat.

“Ia akan telus. Mereka boleh beritahu nilai harta mereka dari masa dipilih sehingga habis penggal. Melaluinya, rakyat boleh nampak jika aset naik atau turun,” kata ahli Parlimen Batu Sapi itu. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen