DEWAN Rakyat menerima usul mewajibkan semua wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka hari ini.
Usul itu diterima walaupun sebelum ini wakil pembangkang berkata mereka tidak akan menyokongnya.
Menurut mereka, walaupun secara prinsipnya mereka bersetuju dengan usaha itu tetapi usul yang dibentangkan tidak mempunyai asas perundangan.
Usul itu memerlukan majoriti mudah dan Pakatan Harapan sejak mula dianggap boleh meluluskannya kerana mempunyai 138 wakil daripada 222 wakil rakyat.
Ia diluluskan dengan undi suara dan tiada suara bantahan kedengaran.
Menyimpulkan perbahasan, Liew memberitahu ahli Dewan Rakyat yang usul itu adalah langkah pertama dalam usaha Putrajaya meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan wakil rakyat kepada rakyat.
Katanya, ia akan dijadikan undang-undang tidak lama lagi bagi mewajibkan semua wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka.
Walaupun, beliau tidak menyebut undang-undang berkaitan, wakil pembangkang meminta pindaan dibuat kepada Akta Anti Korupsi Malaysia untuk menyediakan asas perundangan kepada usul itu.
Tetapi, pelaksanaannya akan sukar kerana tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi menghukum mereka yang gagal berbuat demikian, kata Speaker Mohammad Ariff Md Yusof.
Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong ketika membentangkan usul itu memberitahu ahli Dewan yang pengisytiharan harta itu berasaskan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Beliau turut mengakui yang tidak wujud undang-undang yang boleh memaksa wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka tetapi berharap ia akan dilakukan secara sukarela.
Katanya lagi, wakil rakyat yang membuat pengisytiharan palsu boleh didakwa mengikut Akta Pengisytiharan Statutori dan memberi bukti palsu di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika sabit kesalahan. – 1 Julai, 2019.
Komen