Syarikat perancang perkahwinan kotorkan pusat peranginan Himalaya didenda


Pemandanga pusat perangina Auli di Gunung Nanda Devi di Uttarakhand, India yang dipenuhi sampah-sarap dari majlis perkahwinan mewah keluarga Gupta. – Gambar AFP, 1 Julai, 2019.

SYARIKAT perancang perkahwinan yang diupah oleh keluarga kaya yang dipalit skandal di Afrika Selatan didenda kerana sampah dan najis yang dibuang merata-rata selepas majlis mewah di sebuah pusat peranginan di Himalaya, kata pegawai.

Keluarga kaya berasal dari India dan meninggalkan Afrika Selatan pada 2017 itu disiasat berkenaan urus niaga meragukan membabitkan pegawai dan entiti kerajaan semasa pemerintahan bekas presiden Jacob Zuma.

Tiga beradik lelaki itu mengupah sebuah syarikat perancang perkahwinan E-Factors bagi majlis perkahwinan mewah anak lelaki mereka di Auli, sebuah resort ski di Gunung Nanda Devi di Uttarakhand, India.

Majlis itu mendapat perhatian meluas di India selepas beberapa foto yang menunjukkan tempat peranginan itu dipenuhi dengan sampah-sarap dan makanan basi tersebar.

Seorang pegawai tempatan berkata syarikat itu didenda 250,000 rupee (AS$3,621) kerana menyebabkan kekotoran itu. Beberapa pekerja yang diupah syarikat itu juga membuang air besar merata-rata, kata S.P. Nautiyal.

“Bagi kesalahan membuang air besar merata-rata, kami mengenakan denda sebanyak 100,000 repee dan 150,000 rupee lagi kerana sampah yang bersepah,” katanya.

Hotel di mana majlis itu diadakan juga telah didenda sebanyak 25,000 rupee kerana membiarkan saluran pembentungan terbuka.

Media tempatan melaporkan pekerja pembersihan setakat ini mengutip 30 tan sampah yang diangkut setiap hari menggunakan lori sejak 22 Jun. – AFP, 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen