PUTRAJAYA sepatutnya mengutamakan usaha mendaftar empat juta rakyat sebagai pengundi, berbanding usaha menurunkan had umur mengundi, kata PAS.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan juga perlu mewajibkan rakyat keluar mengundi memandangkan peratusan keluar mengundi yang agak rendah.
“Kita ada empat juta yang masih belum berdaftar mengundi. Pihak kerajaan patut selesaikan isu ini dahulu daripada menurunkan had umur.
“Sepatutnya, kerajaan patut fokus bagaimana yang 21 tahun ke atas ini semua boleh berdaftar sebagai pengundi.
“Peratus keluar mengundi pun memang membimbangkan kita, bawah daripada 60%, ini tidak menggambarkan sokongan akar umbi kepada setiap calon,” katanya.
Katanya, semua warganegara sepatutnya didaftarkan secara automatik sebagai pengundi dan mewajibkan individu tersebut menunaikan kewajipan.
“Setelah mereka daftar, mereka mesti ada satu mekanisme untuk mewajibkan mereka keluar mengundi,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.
Katanya, kerajaan boleh mencontohi Thailand yang mewajibkan setiap rakyatnya mengundi dalam pilihan raya.
Kerajaan dijangka membentangkan usul untuk menurunkan had umur layak mengundi dalam sesi persidangan Dewan Rakyat bulan ini. – 1 Julai, 2019.
Komen