8 militan al-Shabab maut, 12 cedera di Somalia


Tentera Somalia membunuh lapan anggota militan dan mencederakan 12 lagi dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan puak pelampau al-Shabab di Moro Gabey. – Gambar fail AFP, 1 Julai, 2019.

TENTERA Somalia pada Sabtu membunuh lapan anggota militan dan mencederakan 12 lagi dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan puak pelampau al-Shabab di Moro Gabey, sebuah kampung kira-kira 30km dari pekan Hudur di wilayah selatan Bakol, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pegawai pada Ahad.

Pesuruhjaya Hudur Mohamed Mo’alim Ahmed memberitahu pemberita pertempuran meletus selepas tentera kerajaan melancarkan serangan ke atas militan yang bertindak mengutip cukai secara paksa daripada penduduk kampung Moro Gabey.

“Pasukan kami berjaya membunuh lapan orang pengganas dan mencederakan 12 yang lain,” kata Ahmed sambil menambah bahawa tentera kerajaan kehilangan empat nyawa manakala dua lagi cedera semasa operasi itu.

Langkah itu diambil selepas tentera kerajaan pada Khamis berjaya membunuh lapan anggota militan al-Shabab dalam satu operasi di pekan Jamame di wilayah selatan Lower Juba.

Tentera Somalia mempergiat operasi ke atas kumpulan sekutu al-Qaeda di wilayah tengah dan selatan untuk memaksa militan terbabit keluar. – Bernama, 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen