Siasatan SPRM peluang untuk bersihkan nama, kata Hishammuddin 


Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein menyambut baik langkah SPRM untuk menjalankan siasatan dari segenap sudut yang akan memberi ruang kepadanya untuk membersihkan nama.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Julai, 2019

BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein berkata siasatan ke atas urusniaga tukar tanah dan kes lain adalah peluang kepadanya untuk membersihkan nama dan memperbetulkan keadaan.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak hanya terhad ke atas 16 perjanjian tukar tanah melibatkan kementerian pertahanan tetapi juga kepada kes lain. 

“Itu hanya satu isu..mengenai tukar tanah. Masih banyak isu lain yang mereka sedang siasat. Mereka menyiasat segala benda, yang mana bagi saya ia suatu perkara yang baik. 

“InsyaAllah, saya harap ia akan bersihkan nama saya selamanya,” katanya dan menambah hasil siasatan akan memberi ruang untuk bersihkan namanya. 

Hishammuddin berkata, beliau sentiasa berikan kerjasama dengan agensi anti rasuah itu untuk mendedahkan kebenaran kerana tiada apa yang perlu beliau sembunyikan. 

“Saya sangat berhati-hati sepanjang bertugas. Sekiranya berlaku kesilapan, saya rasa mereka akan menjalankan tugas dengan profesional. Jadi saya tiada ada apa yang nak disembunyikan. Jadi saya buat ini tanpa rasa takut atau memihak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. 

Hishammuddin disiasat selama 7 jam oleh SPRM di ibu pejabatnya pada 23 Jun, berhubung perjanjian pertukaran tanah melibatkan hartanah milik kementerian pertahanan. 

Pada Februari, kementerian berkenaan dilaporkan membuat pendedahan berhubung kerugian lebih RM500 juta dalam urusan tukar tanah yang dipercayai berlaku sejak 1997. – 1 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen