RMK12 berdasarkan model ekonomi Kemakmuran Bersama, kata Azmin


SM Amin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata fasa pertama bagi model ekonomi Kemakmuran Bersama akan dilaksana dalam Rancangan Malaysia ke-12. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.

FASA pertama bagi model ekonomi Kemakmuran Bersama akan dilaksana dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Katanya, ia akan menjadi hala tuju untuk pembangunan jangka panjang negara untuk memastikan agihan kekayaan yang lebih adil demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita perlu memastikan, faedah yang diperoleh daripada pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi, dan diedarkan secara adil dan saksama dalam usaha kita untuk meningkatkan taraf kehidupan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan video, sempena persidangan RMK12, di Putrajaya hari ini.

Azmin berlepas ke Vienna awal pagi tadi sempena persidangan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Menurut Azmin polisi, program dan inisiatif dokumen yang akan terkandung dalam RMK12 akan berkisar kepada tiga aspek utama iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar, dan rekayasa sosial.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM45 bilion dijangka akan dibelanjakan ke atas lebih daripada 4,000 projek pembangunan bermula tahun ini, katanya.

“Bersekali dengan beberapa projek berskala besar, langkah ini dijangka dapat memacu pertumbuhan kita untuk tahun ini dan tahun yang seterusnya,” katanya.

Selain merancakkan kembali kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), Azmin berkata usaha yang sama harus dipertingkatkan bagi meningkatkan lagi pelaburan domestik juga.

“E-dagang perlu diberi lebih penekanan sebagai faktor dalam mengukuhkan lagi ekonomi, serta mempromosi pendemokrasian peluang ekonomi,” katanya.

Persidangan Penyediaan RMK12 (2021-2015) yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini disertai kira-kira 250 peserta.

Ia melibatkan pakar dan pihak berkepentingan daripada pelbagai kementerian dan agensi, kerajaan negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan, dewan perniagaan, wakil industri dan NGO. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen