PEMIMPIN Kesatuan Eropah (EU) dari 28 negara anggota dijangka bersidang lagi untuk mencari kesepakatan dalam isu siapa yang bakal menerajui jawatan tertinggi blok itu pada Ahad petang di Brussels.
Laporan terkini media menyatakan bahawa Manfred Weber dari Jerman mungkin diketepikan manakala Frans Timmermans dari Belanda mendahului saingan sebagai presiden Suruhanjaya Eropah, lapor agensi berita China Xinhua.
Satu mesyuarat pada awal bulan ini gagal mencapai kata sepakat berkaitan calon yang bakal menggantikan Presiden Suruhanjaya Eropah semasa iaitu Jean-Claude Juncker serta jawatan kepimpinan lain blok itu.
Sepanjang hujung minggu, Financial Times (FT) UK dan Die Welt Jerman melaporkan bahawa Weber, calon pendahulu Parti Rakyat Eropah – kumpulan terbesar dalam Parlimen Eropah, mungkin tidak akan menerima pencalonan pada Ahad.
Timmermans, naib presiden pertama Suruhanjaya Eropah semasa dan calon utama Parti Sosialis Eropah – kumpulan kedua terbesar dalam Parlimen Eropah, muncul sebagai pendahulu bagi merebut jawatan presiden, lapor FT UK.
Beberapa jam sebelum mesyuarat itu, Reuters turut melaporkan Timmermans dijangka dipilih sebagai presiden Suruhanjaya Eropah, yang mendapat tentangan hebat dari negara-negara Eropah timur.
Beliau tidak popular dalam kalangan kerajaan di Hungary dan Poland kerana tindakan agresifnya ketika menjalankan tugasnya sekarang berkaitan hal ehwal dalaman blok itu.
Weber, meskipun merupakan calon kumpulan terbesar dalam Parlimen Eropah, dianggap tidak berpengalaman oleh Perancis bagi menerajui cabang eksekutif EU itu.
Turut dipertandingkan ialah jawatan presiden Majlis Eropah yang mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin negara anggota EU, speaker Parlimen Eropah, ketua dasar luar EU dan gabenor Bank Pusat Eropah.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada pertemuan pada Ahad akan menghasilkan satu pakej pencalonan.
Menurut peraturan EU, pemimpin 28 negara anggota EU bertanggungjawab untuk pencalonan dan Parlimen Eropah akan mengundi nama yang dicalonkan. – Bernama, 1 Julai, 2019.
Komen