POLIS Turki semalam melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan dan aktivis hak asasi gay yang berdegil dan tidak mematuhi arahan pihak berkuasa apabila mengadakan perarakan di Istanbul yang diharamkan sejak lima tahun lalu.
Ribuan orang ramai berhimpun berhampiran lokasi popular Istiklal Avenue dan Dataran Taksim di mana penganjur pada asalnya bercadang untuk mengadakan perarakan itu.
Perarakan itu dibatalkan oleh pejabat gabenor Istanbul tetapi polis membenaran orang ramai berkumpul di tepi jalan berhampiran di mana kenyataan awam dibuat oleh penganjur, Istanbul LGBT+ Pride Week.
Polis rusuhan kemudian melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.
Kawalan polis ketat berhampiran Dataran Taksim, termasuk kenderaan meriam air polis. Jalan-jalan lain turut ditutup.
Laungan kedengaran “kami tidak akan diam” dalam kalangan orang ramai yang penuh dengan bendera dan payung pelangi.
Amnesty International pada Jumaat menolak dakwaan pihak berkuasa perarakan itu diharamkan atas masalah keselamatan awam atau ketenteraman awam.
Perarakan Istanbul diadakan setiap tahun sejak 2003.
Perarakan terakhir yang dibenarkan pada 2014, menarik puluhan ribu peserta dalam satu acara LGBTI di negara majoriti Islam itu. – AFP, 1 Julai, 2019.
Komen