RIBUAN orang ramai mengadakan bantahan di Brazil semalam sebagai tanda sokongan kepada Menteri Keadilan Sergio Moro, yang berdepan tuduhan bersubahat dengan pendakwa raya berhubung kempen anti rasuahnya bagi mengelak bekas pemimpin Luiz Inacio Lula da Silva menyertai pilihan raya presiden sekali lagi.
Moro, yang juga bekas hakim sebelum menyertai Kabinet Presiden Jair Bolsonaro pada anuari, berdepan desakan meletak jawatan berhubung perbualan yang terbocor yang dikatakan menunjukkan beliau bekerjasama dengan pendakwa raya dalam satu siasatan digelar Car Wash, untuk menghalang Lula, daripada pilihan raya presiden pada 2018.
Penunjuk perasaan memakai pakaian mengikut warna bendera Brazil iaitu kuning dan hijau, turun ke jalanan di 88 bandar, lapor laman web berita G1, termasuk di ibu kota Brasilia, Rio de Janeiro dan Sao Paulo, bagi menunjukkan sokongan kepada Moro yang dianggap sebagai hero bagi kebanyakan rakyat Brazil yang bosan dengan pemimpin rasuah.
Mereka juga mendesak Kongres meluluskan pembersihan kerajaan daripada sistem persaraan negara. Bolsonaro berkata Brazil akan bankrap jika negara itu tidak melakukan perubahan.
Bagaimanapun, jumlah peserta semalam lebih rendah berbanding protes baru-baru ini yang membantah pentadbiran Bolsonaro. – AFP, 1 Julai, 2019.
Komen