PERTAHANAN udara Syria mengesan ancaman peluru berpandu pada Ahad berhampiran Damsyik serta di wilayah Homs dan menembak jatuh beberapa peluru berpandu, lapor agensi berita SANA.
SANA yang memetik sumber tentera mendakwa Israel sebagai dalang serangan itu.
“Pertahanan udara kami mengesan peluru berpandu musuh yang dilancarkan oleh jet pejuang Israel ke beberapa kedudukan kami di Hms dan Damsyik,” kata sumber berkenaan.
Tiada butiran diberikan mengenai kedudukan atau sebarang laporan kemalangan jiwa dalam serangan itu.
Letupan berhampiran Damsyik menyebabkan beberapa kerosakan, dan beberapa orang awam cedera ringan kerana terkena serpihan kaca tingkap kediaman mereka, tambah agensi berita itu.
Bagaimanapun, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, serangan itu menyasarkan pusat penyelidikan dan lapangan terbag tentera di barat bandar Homs yang mana gerakan Hizbullah dan tentera Iran ditempatkan.
Ketua badan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman berjata serangan berkenaan menyebabkan beberapa anggota tentera cedera.
Sasaran berhampiran Damsyik masih belum jelas.
Israel melancarkan ratusan serangan udara di Syria sejak konflik tercetus pada 2011, menyasarkan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dan sekutu rejim Iran dan Hizbullah. – AFP, 1 Julai, 2019
Komen