Korea Utara sifatkan pertemuan antara Trump, Kim detik 'bersejarah'


Presiden AS Donald Trump dan Presiden Korea Utara Kim Jong-un bersetuju untuk "meneruskan sesi dialog untuk menjadikan proses denuklearisasi di Semenanjung Korea sebagai satu kejayaan baru. – Gambar EPA, 1 Julai, 2019

KOREA Utara pada Isnin menyifatkan pertemuan antara pemimpinnya Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Zon Bebas Tentera sebagai detik “bersejarah” dan “mengagumkan”.

Dua pemimpin berkenaan bersetuju untuk “meneruskan sesi dialog untuk menjadikan proses denuklearisasi di Semenanjung Korea sebagai satu kejayaan baru,” menurut laporan agensi berita Korean Central News Agency.

Selepas jemputan oleh presiden AS pada Sabtu menerusi Twitter, dua pemimpin berkenaan kemudiannya mengadakan pertemuan di kawasan yang memisahkan semenanjung berkenaan sejak tamat Perang Korea 66 tahun lalu.

Kim dan Trump berjabat tangan di hadapan konkrit yang memisahkan Utara dan Selatan sebelum Trump berjalan beberapa langkah memasuki wilayah Pyongyang—menjadikan beliau presiden AS pertama menjejakkan kaki ke Korea Utara.

“Pemimpin utama Korea Utara dan AS berjabat tangan di Panmunjom merupakan “detik yang mengagumkan”, kata KCNA, menyifatkan kawasan gencatan senjata itu sebagai “kawasan yang terkenal sebagai simbol pemisahan”.

Pertemuan itu berlangsung di kawasan berkenaan “atas cadangan Trump”, tambahnya.

Pertemuan mengejut di zon berkenaan penuh dengan simbolik.

Langkah Trump menyeberangi sempadan itu—yang katanya beliau sendiri tidak pasti sehinggalah pada detik akhir—merupakan sekuel luar biasa kepada sidang kemuncak pertama Kim dengan Moon Jae-in tahun lalu, yang menyaksikan pemimpin berkenaan mengundang presiden Korea Selatan untuk ke zon berkenaan.

“Ia merupakan satu penghormatan apabila kamu meminta saya menyeberangi sempadan, dan saya amat berbangga melakukannya,” kata Trump kepada Kim. – AFP, 1 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen