Masih banyak masalah peneroka Felda perlu diselesaikan


Sheridan Mahavera

Masalah kelewatan bayaran hasil tuaian kepada peneroka masih berlaku walaupun kerajaan mengumumkan pelan pemulihan sebanyak RM6.23 bilion.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019

DI sebalik pujian terhadap pelan pemulihan Felda kerajaan Pakatan Harapan, Azmin yang merupakan serang penjawat awam mendengar banyak rungutan daripada saudara maranya yang tinggal di Felda pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Kebanyakan peneroka masih mengalami masalah kelewatan bayaran hasil tuaian dua kali sebulan daripada Felda.

Masalah ini masih berlaku walaupun kerajaan mengumumkan pelan pemulihan sebanyak RM6.23 bilion, yang antara lain akan memastikan peneroka dan kontraktor yang menguruskan ladang menerima bayaran mereka tepat pada masanya.

“Ada sesetengah peneroka masih menerima bayaran hasil tuaian mereka lewat seminggu,” kata Azmin. Peneroka menuai hasil kelapa sawit dua kali sebulan dan buah itu dibeli oleh Felda.

“Ia umpama dapat gaji lewat. Ia sangat sukar kerana kamu tidak dapat bayar bil dan pinjaman pada masanya,” kata Azmin yang hanya dedahkan nama pertamanya.

Kumpulan kebajikan peneroka mengakui masalah ini masih wujud namun menegaskan pengurusan baharu agensi kerajaan itu telah menyelesaikan separuh daripadanya melalui 317 penempatan di seluruh negara.

Secara kolektifnya, terdapat kira-kira satu juta individu dalam 112, 635 keluarga peneroka.

Menurut penasihat Suara Kedua Generasi Felda (SGK2F), Zulkefli Nordin, kebanyakan peneroka generasi kedua menjadi kontraktor dalam skim ini yang mana mereka membekalkan tenaga buruh, peralatan dan logistik untuk menguruskan ladang.

Sulong Jamil Mohd Sharif, yang mewakili peneroka dalam beberapa pertemuan dengan Felda, memberitahu The Malaysian Insight bahawa agensi berkenaan bekerja keras untuk mengatasi masalah aliran tunai yang kritikal – sesuatu yang diwarisi oleh pengurusan baharu daripada pentadbiran Barisan Nasional.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali (tengah), timbalannya Radzi Jidin (kiri) dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff memegang replika cek di penempatan Felda d Gemas, Negeri Sembilan. Sulong Jamil berkata walaupun kerajaan menjanjikan RM6.2 bilion, bayaran itu akan diterima secara berperingkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019

“Kebanyakan masalah bayaran lewat ini sudah diselesaikan selepas RM6.2 bilion diberikan oleh kerajaan. Sebagai contoh, pinjaman bantuan sara hidup bulanan tidak lagi lewat namun bayaran lain masih lagi sama,” kata Sulong Jamil yang mengetuai kumpulan yang mewakili semua peneroka.

Peneroka yang membuat pinjaman untuk menanam semula tanaman mereka yang sudah tua turut meminjam elaun sara hidup daripada Felda yang dibayar kepada mereka setiap bulan.

“Saya akui ada segelintir peneroka masih berdepan masalah kelewatan bayaran hasil tuaian di beberapa penempatan berikutan kekangan kewangan yang dihadapi Felda,” kata Sulong Jamil.

“Ia akan mengambil masa satu hingga dua tahun sebelum semua masalah ini diselesaikan.”

Lebih baik berbanding sebelum ini

Menurut kertas putih Felda kerajaan, masalah aliran tunai agensi itu menjejaskan kemampuannya untuk mencapai kos operasi, kos penanam semula, pinjaman dan tunggakan bayaran kepada peneroka.

Kira-kira RM1.98 daripada RM6.23 bilion dalam pelan pemulihan itu akan digunakan untuk penstrukturan semula pinjaman Felda daripada pelbagai institusi kewangan.

RM2 bilion lagi kan digunakan untuk membayar faedah daripada pinjaman sara hidup yang diambil peneroka.

Menurut Sulong Jamil, Felda terpaksa meminjam wang daripada institusi kewangan bagi memberikan pinjaman sara hidup kepada peneroka.

“Walaupun kerajaan menjanjikan RM6.2 bilion, wang itu diberikan secara berperingkat. Faedah daripada pinjaman luaran ini perlu dibayar dahulu jadi di situlah sebahagian besar daripada wang yang diterima dari kerajaan disalurkan.”

Disebabkan itu, agensi berkenaan tidak mampu membayar kepada semua peneroka pada masanya, namun Sulong Jamil mendakwa, ia “tidak seteruk seperti sebelum ini”.

Zulkefli yang mewakili peneroka generasi kedua berkata, pengurusan baharu Felda berjaya menyelesaikan separuh daripada masalah bayaran lewat ini.

“Sebagaimana yang ibu bapa saya di Felda Soeharto (Selangor) beritahu saya baru-baru ini bahawa semua peneroka mendapat wang mereka tepat ada masanya, tetapi masih berlaku beberapa kes kelewatan di penempatan lain,” kata Zulkefli.

Walaupun berdepan masalah ini, beliau memuji pengurusan baharu agensi berkenaan di atas komitmen yang mereka tunjukkan untuk menyelesaikan isu ini. 

“Kepimpinan baharu berbeza berbanding yang lama. Yang lama bekerja di sebalik tabir. Namun yang baharu ini sangat terbuka. Apabila kami ketengahkan isu bayaran lewat dan masalah, mereka segera mengambil tindakan.

“Ia seperti jika kami minta RM100, mereka akan berikan juga RM50 jika tidak mampu berikan semuanya. Sekiranya saya bawa empat kes bayaran lewat, mereka akan selesaikan yanng paling kritikal dahulu.

“Sekurang-kurangnya terdapat kemajuan berbanding sebelum ini, apabila pengurusan tidak pedulikan kami.”

“Zulkefli turut senada dengan Sulong Jamil, bahawa beberapa tahun diperlukan untuk menyelesaikan semua masalah peneroka.

“Wangnya ada, pelannya ada, kita kini dalam peringkat pelaksanaan dan ia akan mengambil masa. Jadi kita perlu sabar. – 1 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen