Lapan pekerja suruhanjaya pilihan raya dibunuh di Afghanistan


Taliban menggunakan kenderaan yang penuh bahan peledak untuk menyerang pusat daerah Maruf di selatan Kandahar pada malam Sabtu, kata jurucakap Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (IEC) Zabiullah Sadaat kepada AFP. – Gambar AFP, 30 Jun, 2019.

SEKURANG-kurangnya lapan pekerja suruhanjaya pilihan raya terbunuh dalam serangan Taliban di Afghanistan selatan, kata pihak berkuasa pada hari Ahad.

Taliban menggunakan kenderaan yang penuh bahan peledak untuk menyerang pusat daerah Maruf di selatan Kandahar pada malam Sabtu, kata jurucakap Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (IEC) Zabiullah Sadaat kepada AFP.

“Malangnya, lapan kakitangan suruhanjaya yang ditempatkan di pejabat kerajaan bagi daerah pendaftar pengundi terbunuh,” katanya.

Qasim Afghan, seorang jurucakap polis Kandahar, berkata beberapa anggota pasukan keselamatan juga terbunuh dalam serangan tersebut dan komunikasi dengan pusat daerah itu terputus.

Taliban mengaku bertanggungjawab di atas serangan itu.

Pilihan raya presiden Afghanistan yang sebelum ini dua kali ditangguhkan kini dijadualkan pada 28 September depan, ketika Amerika Syarikat cuba menjayakan rundingan damai dengan Taliban.

Pada hari Sabtu, Washington dan Taliban membuka pusingan baru rundingan di Doha yang bertujuan mengakhiri perang terpanjang yang disertai Amerika.

Taliban juga membunuh sekurang-kurangnya 25 orang militan pro-kerajaan dalam serangan di utara Afghanistan pada hari Sabtu. – AFP, 30 Jun, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen