Israel tahan menteri Palestin di Jerusalem


Penangkapan Hadami berkemungkinan besar disebabkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan baru-baru ini termasuk menyertai presiden Chile semasa lawatan ke kompleks Masjid Al-Aqsa di Jerusalem, kata sumber dekat dengan menteri itu kepada AFP. – Gambar AFP, 30 Jun, 2019.

POLIS Israel berkata pada hari Ahad, mereka menahan dan kini menyiasat seorang menteri warga Palestin yang memiliki urusan di Jerusalem, sementara seorang sumber berkata beliau ditahan di rumahnya.

Menteri Palestin untuk urusan Jerusalem Fadi al-Hadami ditahan dan disoal siasat mengenai “kegiatan beliau di Jerusalem”, kata jurucakap polis Israel Micky Rosenfeld kepada AFP.

Penangkapan Hadami berkemungkinan besar disebabkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan baru-baru ini termasuk menyertai presiden Chile semasa lawatan ke kompleks Masjid Al-Aqsa di Jerusalem, kata sumber dekat dengan menteri itu kepada AFP.

Pada hari Selasa, Hadami dilihat bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera dalam lawatan ke tapak suci. Hal itu kemudian dibangkitkan Israel, yang mengatakan ia merupakan pelanggaran undang-undang dan pelanggaran persefahaman yang dicapai dengan Sebastian dalam kunjungan ketua negara itu.

Status Al-Aqsa, yang dikenali Yahudi sebagai Gunung Kuil dan terletak di atas Tembok Barat, merupakan salah satu isu yang paling sensitif dalam konflik Israel-Palestin.

Ia adalah tempat paling suci di kalangan Yahudi dan yang ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah, ia ketika ini ditadbir oleh wakaf orang Islam namun diawasi oleh polis Israel.

Chile kemudian berkata kunjungan Pinera itu bersifat peribadi, dengan kehadiran Hadami bukan sebahagian daripada protokol rasmi. – AFP, 30 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen