PASUKAN keselamatan pihak berkuasa Palestin (PA) pada Sabtu menahan seorang ahli perniagaan Tebing Barat kerana mengambil bahagian dalam persidangan damai yang ditaja Amerika Syarikat (AS) minggu ini di Bahrain, yang diboikot oleh PA, kata sumber keselamatan Palestin.
Mereka menahan Salah Abu Mayala, seorang ahli perniagaan dari bandar Hebron di Tebing Barat yang diduduki Israel, kata sumber kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Keluarga Abu Mayala, yang berumur 70-an dan mempunyai masalah kesihatan, berkata mereka tidak mempunyai maklumat mengenai penahanannya.
Sumber keselamatan mengatakan PA memutuskan menahan rakyat Palestin yang didapati terlibat dalam persidangan itu, dilancarkan menantu Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner sebagai inisiatif Timur Tengah yang dianggap sekian lama ditunggu-tunggu.
Dihubungi oleh AFP, kedutaan AS di Baitulmaqdis enggan mengulas.
Kepimpinan Palestin, yang memboikot White House dalam satu siri gerakan pro-Israel termasuk mengiktiraf bandar Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, menegaskan penyelesaian politik terhadap konflik dengan Israel mesti dibuat sebelum isu ekonomi.
Tetapi sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin mengambil bahagian dalam persidangan Manama, termasuk Abu Mayala dan ahli perniagaan Hebron Ashraf Jabari.
Jabari berkata beliau pergi ke Bahrain dengan harapan dapat meningkatkan ekonomi wilayah.
Ditemubual oleh BBC pada persidangan itu, Jabari kelihatan berpeluh dan berkali-kali menolak untuk membincangkan mengenai kedudukan PA.
“Kami tidak datang ke sini untuk bercakap mengenai politik. Politik adalah untuk PA,” katanya menerusi penterjemah.
Seorang jurucakap bagi Presiden Palestin Mahmud Abbas pada Sabtu mengecam persidangan itu.
“Kegagalan bengkel Manama ... adalah mesej yang jelas kepada Trump dan pentadbirannya bahawa dasar ancaman dan intimidasi tidak lagi berkesan,” kata Nabil Abu Rudeineh. – AFP, 30 Jun, 2019.
Komen