Genius Ive dan Shazalli nasibnya berbeza


Zainal Rashid Ahmad

JONY Ive dan Shazalli Ramly – dua nama dalam dunia inventori telekomunikasi. Bergelumang dalam medium telekomunikasi tetapi melalui nasib berbeza. 

Ketika Ive, tokoh inovasi kreatif dalam teknologi reka bentuk memilih meninggalkan Apple pada 27 Jun lalu, pemergiannya dianggap satu kehilangan besar kepada Apple Inc.

Ive, 52, memilih meninggalkan Apple setelah berjasa sebagai wakil kanan presiden dan ketua reka bentuk. Sejarah Ive mengisi semua ruang inventori Apple sejak menyertai jenama hebat itu pada 1998.

Dia genius di sebalik wujudnya segala produk Apple. Ive seniman teknologi yang mencipta reka bentuk MacBook Pro, iMac, MacBook Air, iPod, iPod Touch, iPhone, iPad, iPad Mini, dan iOS 7.

Segala harta kreatif dalam teknologi Apple yang bernilai berbilion ringgit tidak akan terhasil tanpa sentuhan magis anak kelahiran Chingford, London ini. Malah, Ive dianggap seniman kreatif yang melengkapkan kegemilangan idea unik pengasas Apple, Steve Jobs. 

Malah, Jobs menganggap Ive sebagai “rakan spiritual Apple”. Majalah Fortune pada 2010, menyifatkan sentuhan magis Ive sebagai: “tidak hanya mengubah Apple, tetapi dunia secara keseluruhan”.

Khamis lalu, Ive meninggalkan Apple dengan langkah keluar yang diraikan. Memang wajar Ive diberikan penghormatan. Dia genius kreatif dalam penghasilan siri iPhone dan produk ikonik lain.

Ive meninggalkan gergasi teknologi itu untuk menubuhkan syarikat sendiri.

“Ive akan meletak jawatan dan menubuhkan syarikat reka bentuk bebas yang mengambil kira Apple sebagai antara pelanggan utamanya,” kata Apple dalam kenyataan.

Selepas 21 tahun bersama, Ive melangkah pergi dengan keraian masa depan oleh Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook. Rakan seperjuangan yang memahami hasrat Ive menubuhkan syarikat kreatif sendiri. 

Ive berangkali mahukan suasana baharu selepas dua dekad membantu Apple mencapai puncak penguasaan gajet kelas elit. Cap jarinya wujud dalam semua produk tanda niaga utama Apple.

“Apple akan terus mendapat manfaat daripada bakat Jony dengan bekerja secara langsung dengannya dalam projek eksklusif dan menerusi kerja cemerlang berterusan dan pasukan reka bentuk bersemangat yang dibawahnya,” kata Cook.

Langkah Ive bakal terus menuju kecemerlangan. Malah, akan kekal sebagai rakan niaga Apple.

Bagaimanapun nasib Shazalli, raja jenama yang juga bekas ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Telekom Malaysia (TM) sangat ironis. Dia “dipaksa” meninggalkan gergasi syarikat telekomunikasi yang dikuasai kerajaan kerana dosa politiknya.

Shazalli dimusuhi kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dianggap kroni bekas perdana menteri, Najib Razak.

Kronologinya mudah. Selepas Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, sebulan kemudian Shazalli sudah tiada lagi di TM. Tarikh 6 Jun, Shazalli kehilangan seluruh rekod prestasi kerjanya yang cemerlang sebagai raja jenama di negara ini.

Tanpa keraian, TM melihat Shazalli pergi begitu saja. Siapa pun tidak mampu menghalang tindak balas “witch hunting” PH terhadap semua rangkaian individu yang dikaitkan dengan Najib. 

Walaupun jasanya sebagai raja jenama sejak 1993, dan berpengaruh dalam industri penyiaran dan telekomunikasi domestik serta serantau – “witch hunting” mengejarnya.

Pembabitan Shazalli sebagai penasihat kempen Najib, menyebabkan “hukuman pembersihan” segera dilaksanakan.

Selama 13 bulan memimpin TM, serta 12 tahun bersama Celcom dan Axiata, sumbangan Shazalli bukan kecil. 

Reputasinya luar biasa. Hanya setahun selepas mengetuai Celcom bermula 1 September 2005, Shazalli berjaya menjadikan syarikat telekomunikasi GLC itu sebagai jenama nombor satu. Selepas sedekad dibayangi, Celcom akhirnya memintas dominasi Maxis.

Sebelum menyertai Celcom, Shazalli mula dikenali sebagai raja jenama apabila memimpin survival ntv7 pada 1998 hingga 2005. 

Shazalli menerajui ntv7 pada tempoh sukar kerana stesen itu dilancarkan ketika krisis kegawatan ekonomi 1997. Namun, anak Gerik, Perak ini berjaya mencipta magisnya sendiri.

ntv7 yang tenat berjaya mengharungi tempoh sukar. Dua tahun berada dalam kitaran krisis kegawatan ekonomi, ntv7 berdepan ancaman hampir ditutup operasinya

Pada 2001, Shazalli berjaya menjadikan ntv7 sebagai stesen nombor dua paling berpengaruh. Ketika dilancarkan pada 1996, ntv7 hanya saluran ke 11 dalam ranking penyiaran di negara ini.

Malah, ketika peruntukan modal kandungan hanya sekitar RM57 juta setahun pada 2002, Shazally memacu ntv7 menguasai 18% kawalan tontonan siaran. 

Kejayaan ini sesuatu yang tidak mungkin dilakukan sesiapa pun ketika bersaing dengan saluran-saluran yang berbelanja dua hingga lima kali ganda modal menghasilkan program.

Shazalli memperkenalkan strategi 5R ketika memimpin ntv7. Formula pengurusan yang sangat berdaya saing dengan prinsip rating, revenue, recovery, responsible dan reputation. Prinsip 5R menerajui misi dan visi kerjanya.

“Kita akan terbang tinggi dengan 5R dan terus bersaing dengan modal kandungan yang kecil tetapi berasaskan strategi pemasaran dan penjenamaan yang betul,” kata Shazalli.

Itu ucapan bekas graduan UITM ketika majlis berbuka puasa bersama penjawat ntv7 pada 2002. Ketika itu, “saluran ceria anda” sedang berdepan dengan krisis kelewatan bayaran gaji. 

Kesan kejatuhan ringgit menyebabkan kos operasi ntv7 terjejas teruk. Kos membeli peralatan teknologi Jerman, menyebabkan angka hutang melambung tinggi. Ini akibat ringgit merudum daripada RM2.50 ke RM3.80.

ntv7 kekal berdaya saing hingga 2005 apabila diambil alih Kumpulan Media Prima.

Dari ntv7 Shazalli disambar Celcom kemudian ke Axiata dan seterusnya memimpin TM. Cuma, nasib Shazalli tidak seperti Ive. 

Krisis “witch hunting” dan stigma anti Najib menyebabkan negara ini kehilangan raja jenama dan pakar pemasaran yang prolifik.

Kesilapan Shazalli ialah berada dalam lingkaran Najib pada PRU14 lalu. Selepas PH berkuasa, kempen “witch hunting” mengejarnya sebagai antara 10 musuh utama.

Namun, pembalasan politik dengan menyingkirkannya agak keterlaluan. Membunuh kerjaya Shazalli bererti melenyapkan potensi geniusnya. 

Sekaligus menjadikan nasibnya berbeza dengan Ive. – 30 Jun, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen