AS dan Taliban sambung rundingan damai


Pusingan ketujuh rundingan damai AS dan Taliban sedang berlaku di Doha, Qatar. – Gambar EPA, 30 Jun, 2019.

AMERIKA Syarikat dan Taliban memulakan rundingan damai baharu di Doha semalam, kata jurucakap Taliban, ketika Washington berusaha mencapai persetujuan damai sebelum pilihan raya presiden Afghanistan September depan.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid menerusi Twitter menulis yang “pusingan ketujuh perbincangan antara wakil AS dan pasukan perunding Amiriah Islam bermula di Doha”.

Perbincangan itu adalah pusingan ketujuh rundingan damai bermatlamat menamatkan perang terpanjang melibatkan AS.

Ia bermula di ibu kota Qatar ketika berita terbaru melaporkan yang sekurang-kurangnya 25 pejuang pro kerajaan terbunuh dalam serangan Taliban di utara Afghanistan.

Serangan itu berlaku di Nahrin, utara daerah Baghlan sebelum subuh apabila mereka cuba menyelamatkan tentera yang dikepung pengganas Taliban.

Selepas sejam setengah mengumumkan penyambungan semula rundingan damai, Mujahid memuat naik sebuah video sekumpulan lelaki bersenjata dengan muka ditutup berkumpul di sebuah air terjun menyanyikan lagu “Afghanistan yang indah”.

Kapsyen video tertulis “pelancongan jihad di Farah”, kawasan selatan Afghanistan yang sebelum ini dianggap tarikan pelancong.

Perjanjian itu sekiranya tercapai bakal menyaksikan AS menarik balik tentera selepas lebih 17 tahun berperang di Afghanistan. Sebagai balasan, Taliban berjanji negara itu tidak lagi akan melindungi pengganas, seperti Al-Qaeda sebelum serangan 11 September 2001.

Rundingan itu kini tertumpu kepada empat perkara- anti-keganasan, kehadiran tentera asing, dialong dalaman Afghanistan dan gencatan senjata kekal.

Pegawai AS sebelum ini dilapor berkata yang mereka berharap dapat mencapai kata sepakat sebelum pilihan raya presiden Afghanistan, yang sudah dua kali tertangguh dan kini ditetapkan pada September.

Pada Selasa, Setiausaha AS Mike Pompeo membuat lawatan mengejut ke Kabul dan berkata beliau berharap perjanjian damai dengan Taliban tercapai “sebelum 1 September”. – AFP, 30 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen