Ibu dan anak dibunuh kerana dituduh amal sihir


Wanita berusia 50 tahun dan anak perempuannya itu dibelasah oleh jiran mereka sebelum ditikam dengan pisau pada malam Rabu di daerah Barat Singhbhum, Jharkhand. – Gambar EPA, 30 Jun, 2019.

SEORANG ibu dan anak perempuannya di India dibunuh oleh tiga lelaki kerana didakwa mengamalkan sihir di pendalaman negara itu, kata polis semalam.

Wanita berusia 50 tahun dan anak perempuannya itu dibelasah oleh jiran mereka sebelum ditikam dengan pisau pada malam Rabu di daerah Barat Singhbhum, Jharkhand.

Polis berkata keluarga mangsa terlibat dalam isu perebutan tanah dengan salah seorang penyerang, yang menggunakan tuduhan sihir untuk menutup jenayah itu.

“Salah seorang penuduh memberitahu orang kampung yang wanita itu adalah ahli sihir dan bertanggungjawab ke atas kematian dan penyakit di kampung itu. Mereka menyerang wanita itu pada tengah malam dan membunuhnya,” kata Ketua Polis Daerah Indrajit Mahatha kepada AFP.

Suami wanita itu membuat laporan polis terhadap tertuduh yang kini melarikan diri, katanya.

Lebih 2,000 orang-kebanyakannya wanita- dibunuh di India kerana dituduh mengamalkan sihir antara 2000 dan 2012, menurut Biro Rekod Jenayah Nasional.

Beberapa negeri, termasuk Jharkand, memperkenalkan undang-undang khas untuk mengekang jenayah berkaitan sihir.

Pakar percaya kepercayaan terhadap sihir dan ilmu hitam masih berleluasa di kawasan pendalaman India yang miskin. Terdapat juga beberapa laporan korban manusia dibuat.

Awal bulan ini, polis di negeri Assam berkata mereka mengesyaki kes korban manusia selepas menemui mayat tanpa kepala seorang wanita berhampiran sebuah kuil Hindu. – AFP, 30 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen