Bekas pengarah SRC International dijangka disoal balas peguam Najib esok


Bede Hong

Suboh Md Yassin saksi utama berkata, beliau lari kerana bimbang keselamatan dan nyawanya terancam selepas skandal 1MDB pecah pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2019.

BEKAS pengarah SRC International Suboh Md Yassin dijangka disoal balas di mahkamah esok berkaitan dakwaan yang beliau melarikan diri kerana bimbang keselamatan nyawanya terancam berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd, ancaman yang didakwa berasal daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Dua minggu lepas, Suboh, 68, memberitahu mahkamah yang beliau melarikan diri ke Bangkok bersama isterinya selepas skandal kewangan 1MDB itu terbongkar pada pertengahan 2015.

“Saya takut dengan apa yang berlaku dan Najib yang berkuasa sebagai perdana menteri. Saya tak tahu apa yang akan berlaku kepada saya dan keluarga.

“Saya buat keputusan larikan diri ke Bangkok dengan isteri dan kami tinggal di sana selama kira-kira sebulan,” katanya.

Najib, ketika itu juga menteri kewangan menyelia 1MDB.

SRC International adalah syarikat milik kerajaan, bekas anak syarikat 1MDB sebelum pemilikannya dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada Februari 2012.

Suboh juga memberi keterangan yang beliau menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dikenalinya.

Beliau berkata, bekas SRC International Nik Faisal Ariff Kamil menyuruhnya melarikan diri. Nik Faisal sehingga kini masih tidak dapat dikesan dan jadi orang buruan.

Di Bangkok, Suboh berjumpa seorang lelaki Thailand yang menawarkannya tiket penerbangan ke Abu Dhabi.

Najib Razak mengawal operasi SRC International, dakwa saksi penting SUboh Md Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2019.

Beliau tinggal di Rosewood Hotel di Abu Dhabi lebih seminggu, semuanya ditanggung. Beliau kemudian kembali ke Bangkok, dan kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur.

Di Malaysia, Suboh berkata beliau sekali lagi dihubungi Nik Faisal yang menyuruhnya melarikan diri sekali lagi untuk mengelak daripada pihak berkuasa. Panggilan ini diterima selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas.

Suboh berkata, beliau memilik untuk terus berada di Malaysia untuk “membantu pegawai penguatkuasa”.

Beliau menyerah diri kepada SPRM pada Jun tahun lepas, dan ditempatkan dalam program perlindungan saksi.

Suboh adalah saksi pendakwaan ke-42. Beliau kelihatan lemah, menggunakan tongkat dan memberitahu mahkamah yang beliau ada masalah jantung.

Selepas PRU14 9 Mei lalu, SPRM membuka semula siasatan terhadap SRC International selepas siasatannya pada 2015 terhalang kerana Najib masih berkuasa.

Esok, pasukan pembelaan dijangka merungkai kembali kronologi peristiwa.

Soal balas terhadap Suboh juga berkemungkinan akan memberi tumpuan kepada sebabnya melarikan diri, serta dakwaan yang Nik Faisal dan Najib berkuasa penuh ke atas SRC International.

Suboh memberi keterangan yang peranannya adalah sangat kecil dalam SRC International, dan semuanya tidak akan berjalan tanpa kelulusan Nik Faisal, yang disifatkannya sebagai “penghubung” kepada Najib.

Najib adalah penasihat emeritus SRC International.

Pasukan pembelaan Najib Razak diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2019.

Suboh juga memberitahu mahkamah yang Nik Faisal merujuk kepada Najib apabila ada rujukan dibuat oleh “pihak atasan” yang mahukan proposal atau transaksi besar dipercepatkan.

Katanya, sepanjang jadi pengarah antara 2011 hingga 2015, beliau tidak mampu membuat sebarang keputusan kerana semua perkara di bawa kepada pengetahuan Najib oleh Nik Faisal.

Beliau memberi contoh keputusan lembaga pengarah mempercepatkan geran RM250 juta kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd yang dilantik pada 3 September 2014 untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat SRC International.

“Saya bangkitkan persoalan tentang peraturan syarikat dan isu berkaitan kepatuhan kerana RM250 juta melibatkan penggunaan dana SRC International,” katanya kepada mahkamah.

Tetapi, Nik Faisal didakwa berkata “ia akan diselesaikan” dan menambah perkara itu sudah diluluskan “pihak atas”.

“Dalam pandangan saya, pihak atas disebut Nik Faisal merujuk kepada Najib, yang merupakan penasihat emeritus SRC International,” kata Suboh di mahkamah.

Pertuduhan ke atas Najib dalam kes ini berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pasukan pembelaan diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas menerajui pendakwaan dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar perbicaraan kes itu. – 30 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen