Turki beli senjata Rusia satu masalah, kata Trump


TINDAKAN Turki membeli sistem pertahanan peluru berpandu Rusia merupakan satu masalah, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kepada rakan sejawatnya, Recep Tayyip Erdogan.

Washington menunjukkan bantahan yang jelas terhadap pembelian sistem S-400 milik Rusia dan Turki diberi masa sehingga 31 Julai untuk membatalkan pembelian itu.

AS menyifatkan pembelian senjata Rusia itu bercanggah dengan penglibatan Turki dalam program jet pejuang F-35 milik AS.

Trump sekali lagi mengulangi pendiriannya apabila bertemu Erdogan di sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun.

“Ia merupakan satu masalah dan tidak perlu dipertikaikan lagi,” kata Trump.

“Ianya tidak bagus. Tidak bagus.”

Namun beliau berkata Turki merupakan rakan AS dan kedua-dua negara merupakan rakan perdagangan.

Washington menegaskan jika Turki tidak membatalkan pembelian itu, Ankara akan dihalang daripada membeli pesawat tempur F-35 dan juruterbang Turki yang kini menjalani latihan penerbangan jet itu di AS akan dihalau pulang. – AFP,  29 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen