UNIVERSITI Malaysia (UM) dibanjiri dengan pelajar-pelajar berbaju kuning malam tadi apabila keputusan pilihan raya diumumkan. Silap-silap orang yang tak berapa bijak akan fikir ia adalah perhimpunan Bersih.
Tetapi mereka ini tak lain dan tak bukan adalah dari Penggerak Mahasiswa atau Pro Aspirasi. Hanya perwakilan pelajar saja yang dibenarkan masuk ke dalam Dewan Tunku Canselor, manakala ramai rela berdiri di basahi hujan di luar.
Setiap kali calon Penggerak menang, setiap kali itulah mereka bersorak sehinggalah apabila calon mereka yang ke-21 di sebut, mereka terus menjerit gembira. (Parlimen penuh mempunyai 40 wakil dan majoriti 21 diperlukan untuk menang.)
Tetapi nama wakil Penggerak terus silih berganti hingga diumumkan menang 30 daripada 40 wakil pada jam 7 malam.
Semua orang mula menyanyi, bendera diedarkan, ada yang menangis, ada yang bertepuk tangan dan melompat kegembiraan.
Pengurus pilihan raya Penggerak, Hazwan Syafiq sungguh beremosi ketika ditemui The Malaysian Insight.
“Kami menang 30 daripada 40, itu bagi saya sudah cukup,” kata Hazwan sambil menitiskan air mata gembira.
Penggerak menang 5 kerusi zon dan 25 kerusi fakulti.
Asalnya, ia hanya menamakan 38 calon untuk bertanding dalam pilihan raya UM.
Seorang pelajar, Zairita Mohd Yusoff berkata dia sangat gembira apabila mendengar Penggerak telah menang.
“Saya memang dah jangkakan kemenangan ini sebab secara peribadi saya kenal seorang wakil, dan dia memang mempunyai kemahiran memimpin yang tinggi,” katanya.
Bagi Sheila Rani Letchamanan, semua pemimpin Penggerak telah mempamerkan kepimpinan yang hebat.
“Saya mungkin akan bertanding pada tahun depan, tengoklah macam mana,” katanya.
Gabungan Pro-Mahasiswa, yang terdiri daripada Angkatan Mahasiswa, Demokrat UM dan UM Association of New Youths (Umany) hanya berjaya memenangi dua kerusi zon di UM.
Zon di UM mempunyai beberapa fakulti. UMANY pada asalnya bekerjasama dengan pergerakan-pergerakan pelajar lain untuk bertanding dengan 28 kerusi. – 28 September, 2017.
Komen