Perancis tolak rundingan semula Brexit


Jika United Kingdom mahu keluar dari kesatuan, maka perjanjian yang dicapai adalah perjanjian yang dirunding sepanjang dua tahun ini, kata Menteri Perancis bagi Hal Ehwal Eropah, Amelie de Montchalin. – Gambar AFP, 29 Jun, 2019.

KERAJAAN Perancis semalam senada dengan Brussels, memberi amaran kepada dua calon perdana menteri Britain bahawa tiada rundingan semula perjanjian Brexit.

Dua calon itu ialah bekas datuk bandar London Boris Johnson dan Menteri Luar Jeremy Hunt, bertanding bagi menggalas tanggungjawab sukar membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Johnson adalah calon pilihan.

Kedua-duanya berjanji akan merunding semula perjanjian Brexit dengan Brussels selepas Theresa May tiga kali gagal mendapatkan sokongan Parlimen berhubung perjanjian itu.

EU menegaskan tiada alternatif bagi perjanjian yang dibentang oleh May.

“Jika United Kingdom mahu keluar dari kesatuan, maka perjanjian yang dicapai adalah perjanjian yang dirunding sepanjang dua tahun ini,” kata Menteri Perancis bagi Hal Ehwal Eropah, Amelie de Montchalin kepada anggota Anglo-American Press Association of Paris.

De Montchalin berkata Johnson dan Hunt, serta yang lain termasuk Parti Buruh dan Parti Liberal Demokrat dialu-alukan untuk berunding dengan EU mengenai deklarasi tentang masa depan hubungan UK-EU bersama perjanjian Brexit.

“Tetapi untuk merunding semula perjanjian tarik diri, pendirian Majlis (pemimpin EU) sangat jelas. ‘Tidak’,” katanya, mengulangi ucapan Presiden Majlis Eropah Donald Tusk dan Ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker. – AFP, 29 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen