Iran lapor kepada PBB mengenai dron AS


Iran membuat aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai dron Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menceroboh ruang udaranya, lapor agensi berita Tasnim semalam. – Gambar EPA, 29 Jun, 2019.

IRAN membuat aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai dron Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menceroboh ruang udaranya, lapor agensi berita Tasnim semalam.

“Iran memfailkan aduan kepada Majlis Keselamatan PBB dan setiausaha agungnya selepas sebuah dron pengintip AS menceroboh runag udara Iran dan ia telah ditembak jatuh,” kata Timbalan Menteri Luar Iran Gholam Hossein Dehghani seperti dipetik Tasnim.

“Aduan menyebut bahawa Iran berhak mempertahankan ruang udaranya dan menangani sebarang pencerobohan.”

Awal bulan ini Iran berkata ia menembak jatuh dron yang menceroboh ruang udara negara itu dekat Selat Hormuz.

Pentagon menafikan dron miliknya memasuki wilayah Iran.

Agensi berita rasmi IRNA melaporkan Iran memfailkan aduan berkenaan perkara itu kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada aduan itu Dehghani itu adalah aduan yang sama atau berasingan.

Hubungan antara Tehran dan Washington tegang sejak Presiden AS Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran dan mengenakan sekatan ke atas negara itu.

Ketegangan memuncak minggu lepas apabila Iran menembak jatuh dron AS di perairan Teluk selepas beberapa tangki minyak diserang. AS menuduh ia didalangi Iran tetapi kemudian dinafikan Tehran.

Trump pada minggu ini mengumumkan sekatan baharu terhadap pemimpin  tertinggi Iran  Ayatollah Ali Khamenei dan Menteri Luar Mohammad Javad Zarif.

Iran mengancam akan menarik diri dari perjanjian nuklear melainkan anggota yang masih tinggal - Britain, China, France, Jerman dan Rusia - membantunya mengelak sekatan AS. – AFP, 29 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen