DONALD Trump menang pilihan raya 2016 kerana campur tangan Rusia, kata bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter, semalam.
“Tidak syak lagi Rusia campur tangan dalam pilihan raya,” kata Carter, 94, pada forum panel Carter Center di Leesburg, Virginia.
“Dan saya rasa jika campur tangan itu disiasat kita akan dapati Trump sebenarnya tidak menang dalam pilihan raya 2016.”
Carter, anggota Demokrat yang dilantik sebagai presiden AS pada 1976 dan kemudian kalah kepada Ronald Reagan (Republikan) empat tahun kemudian berkata demikian ketika ditanya oleh moderator sama ada beliau percaya Trump bukanlah presiden yang sah.
“Mengikut apa yang saya katakan tadi, yang mana saya tak boleh tarik semula, ya,” katanya sambil ketawa.
Bekas naib Carter, Walter Mondale yang juga menyertai forum itu, turut mengutuk Trump.
“Kita tak pernah ada orang seperti itu, dekat dengan Rumah Putih pun tidak,” kata Mondale, 91.
“Doktor beritahu saya dia ada masalah psikologi.
“Anda hampir boleh ramal apa yang dia akan buat. Semuanya tentang dia,” katanya.
Mondale berkata Trump bertanggungjawab bertambahnya pemimpin autoritarian di seluruh dunia.
“Dia terang-terangan sukakan pemimpin autoritarian, menghina pemimpin Demokrat.
“Sikap kasarnya, retorikm perpecahan, semua ini bentuk kebencian.
“Semumur hidup saya tak pernah lihat seorang presiden Republikan yang begitu. Ada sesuatu yang terkutuk dalam dirinya,” tambah Mondale. – AFP, 29 Jun, 2019.
Komen