SEORANG tentera Turki terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas tentera kerajaan Syria melepaskan tembakan ke arah pos kawalan mereka di wilayah Idlib, kata Ankara pada Jumaat.
Tembakan mortar dan meriam pada Khamis itu adalah serangan yang sengaja dilakukan, kata kementerian pertahanan Turki dalam satu kenyataan.
Turki mempunyai 12 pos kawalan di Idlib, di barat laut Syria yang mana mereka cuba untuk mengekalkan gencatan senjata.
Idlib merupakan salah satu “zon de-eskalasi” yang dipersetujui di bawah perjanjian damai Astana September lalau yang turut melibatkan Rusia dan Iran, yang menyokong kerajaan Syria, dan Turki menyokong pasukan pemberontak.
Namun, Damsyik meningkatkan serangannya sejak akhir April lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap pelarian dari wilayah berkenaan yang menempatkan kira-kira tiga juta orang.
Kementerian Turki berkata ia bertindak balas pada hari Khamis dengan melancarkan serangan bom, sementara ketua tenteranya memanggil atase ketenteraan Rusia dan memberi amaran akibat yang “teruk” sekiranya serangan berulang di masa akan datang.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh kerajaan Syria cuba mensabotaj kerjasama Turki dengan Rusia pada Mei ketika cuba mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak lapan tahun lalu. – AFP, 28 Jun, 2019
Komen