Tiada tindakan selanjutnya kepada pengusaha 'dobi Islam sahaja', kata PBT


Yasmin Ramlan

Majlis Perbandaran Muar berkata buat masa ini semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2017.

TIADA tindakan lanjut akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan ke atas kedai dobi layan diri “untuk orang Islam sahaja” di Muar, Johor termasuk pemantauan dari masa ke masa.

Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Muar (MPM) Fairuz Nawwar Shamsusah berkata buat masa ini semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

“Sebenarnya pada masa ini, sebagaimana yang titah Tuanku dah keluarkan semalam. Jadi pihak kita, pun tak ada nak keluarkan apa-apa kenyataan memandangkan tuanku dah bertitah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Jelas beliau, pemantauan premis-premis yang telah mendapat lesen berniaga dari pihak berkuasa tempatan bukan di bawah bidang MPM. 

“Kalau mereka (pengusaha kedai) dah ikut peraturan untuk tubuhkan sesuatu perniagaan ikut prosedur ditetapkan; serah dokumen-dokumen berkaitan, selagi ikut peraturan yang perlu, tak ada masalah. 

“Dari segi pemantauan itu bukan bidang kuasa kita untuk pantau operasi dobi sebab mereka dah ikut peraturan perniagaan. Mohon lesen, kita luluskan lesen. Kita tak pantau aktiviti secara keseluruhan,” katanya. 

Kedai dobi Elit Laundry itu menjadi perhatian apabila foto di depan ruang premisnya tertera papan tanda “Untuk Pelanggan Beragama Islam Sahaja dan Kasut Sila Tinggalkan Di Luar” dan tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan Sultan Johor. 

Sementara itu, exco hal ehwal agama kerajaan negeri Abdul Mutalip Abdul Rahim pula berkata, pihaknya mengambil peranan menasihati pengusaha-pengusaha dobi agar perkara sedemikian tidak berulang sehingga menimbulkan sikap prejudis di antara sesama kaum dan agama. 

“Kita dah nasihatkan semua (pemilik) dobi. Jangan guna kaedah macam itu. Jangan timbulkan prejudis antara bangsa dan kaum,” katanya. 

Tindakan kedai dobi itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada pengguna media sosial. Ada yang memujinya sebagai langkah baik menjaga kesucian pakaian yang dicuci, ada juga yang mempersoalkan kewajaran pengecualian mengikut agama itu dan ada juga yang tertanya-tanya betul atau tidak ini berlaku di Malaysia dan wujud atau tidak sebenarnya kedai itu.

Sultan Johor dalam wawancara dengan The Star menyifatkan apa yang dibuat oleh pemilik kedai dobi itu “mengarut” dan memalukan negeri serta rakyat Johor dan mengarahkan pemiliknya membuat permohonan maaf atau berdepan penutupan.

Bagaimanapun, semalam, pemilik kedai dobi itu memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dan akur dengan perintah Sultan Ibrahim agar papan tanda larangan terhadap pelanggan bukan Islam itu dialihkan. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen